Kemelut di Selangor: Masa terbaik singkirkan DAP

Share


Dewan Pemuda Pas menyeru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor supaya mengambil langkah pada masa yang terbaik hari ini untuk menyingkirkan DAP daripada pentadbiran negeri tersebut selepas menimbulkan pelbagai masalah terutama membabitkan Islam.

Timbalan Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari wajar memulakan langkah proaktif menghadap Sultan Selangor bagi merombak barisan Exco kerajaan negeri itu dengan mengeluarkan semua ADUN DAP.

Beliau berkata, langkah seterusnya ialah menyingkirkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim yang dikatakan sengaja memendekkan Sidang DUN Selangor yang baru dua hari bermesyuarat kerana dikatakan mahu menghalang pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dibentangkan.

“Sekiranya sokongan daripada UMNO dan Pas diperlukan, tiada sebab untuk kedua-dua parti ini walaupun dengan jumlah kerusi yang kecil menolak untuk bekerjasama menjayakan agenda ini,” katanysa dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hari ini, empat Exco bukan Islam kerajaan Selangor hari ini menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di sini kira-kira pukul 11 pagi.

Empat exco berkenaan adalah Datuk Teng Chang Khim, V. Ganabatirau, Hee Loy Sian dan Ng Sze Han.

Bernama melaporkan mereka dikatakan memohon untuk menghadap Sultan Selangor pada 25 Julai lepas untuk membincangkan beberapa isu dipercayai berhubung usul pindaan enakmen negeri berkaitan penukaran agama bagi anak di bawah umur.

Ahmad Fadhli berkata, tidak pelik sekiranya Pakatan Harapan (PH) terlerai kerana ikatan DAP dengan parti pembakang dalam Pakatan Rakyat juga hancur.

“Jika permulaan terlerainya Pakatan Rakyat adalah Langkah Kajang di Selangor, tiada yang pelik jika lerainya Pakatan Harapan juga bermula dengan Langkah Sekinchan di Selangor.

“Jika ada yang masih berpura-pura tidak nampak dengan kemelut Selangor ini, saya kira ia adalah situasi yang sangat malang,” katanya. – UTUSAN ONLINE


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *