Pinjaman pekebun kecil muslihat pindah hak milik tanah Melayu?

IPOH 7 Ogos – Mungkinkah sistem pinjaman baharu yang menggantikan skim bantuan tanam semula untuk pekebun kecil merupakan satu muslihat supaya tanah pertanian orang kampung dipindah milik kepada bukan Melayu?

Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun yang membangkitkan persoalan itu berkata,ini kerana skim pinjaman mudah yang diperkenalkan oleh kerajaan akan menyebabkan pekebun kecil akan tawar hati untuk meneruskan tanaman sawit.

Menurutnya, ini dikhuatiri akan mendorong berlakunya penjualan hartanah secara besar-besaran.

Kata beliau, akan wujud ‘ular air’ yang menjadi broker kepada taikun besar yang siap sedia memujuk pekebun kecil supaya menjual tanah mereka.

“Adakah ini satu lagi strategi terancang untuk menipu orang kampung?

“Sejak dahulu lagi kita melihat banyak tanah yang diberikan kepada orang kampung untuk tujuan pertanian dipindah milik kepada bukan Melayu secara jual beli dan cara tipu

muslihat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Zolkafly berkata, orang Melayu suka menggadai atau memajak tanah mereka kepada tauke untuk mendapatkan wang mudah.

“Akhirnya tanah yang bertaraf rizab Melayu berpindah hak milik apabila gagal menjelaskan hutang,” katanya.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok baru-baru ini mengumumkan kerajaan menyediakan dua skim pinjaman pada kadar faedah dua peratus setahun bernilai RM550 juta bagi manfaat 15,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara.

Ia adalah Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dengan jumlah dana RM500 juta dan Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS) dengan nilai RM50 juta.

Pinjaman itu bagi membantu pekebun kecil sawit yang terjejas pendapatan mereka kerana hasil kebun rendah berikutan pokok sawit tua. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker