Mahu Dr. Mahathir letak jawatan selepas 9 Mei 2021 – BERSIH, ABIM & GBM

Share


KUALA LUMPUR 7 Ogos – Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepakat menggesa Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selewat-lewatnya pada 9 Mei 2021, genap tiga tahun Pakatan Harapan (PH) menjadi Kerajaan Pusat.

Tiga NGO tersebut ialah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).

Mereka menerusi surat terbuka bersama kepada Dr. Mahathir menggesa Perdana Menteri dan kepemimpinan PH mengambil langkah jelas untuk membawa kestabilan politik negara dengan meletakkan pakej peralihan berdasarkan perjanjian sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Pergolakan PKR selaku parti komponen utama dalam gabungan PH sedang merisaukan rakyat dan komuniti antarabangsa kerana berpotensi untuk memecahbelahkan gabungan tersebut serta menyebabkan politik negara ini dalam keadaan kucar-kacir.

“Kebimbangan kami adalah agenda pembaikan kerajaan PH yang akan terhenti, atau lebih parah, apa yang sedang dicapai kini akan terundur kepada sistem yang lama sekiranya kestabilan politik tidak dipulihkan.

“Kerisauan kami hanya tertumpu kepada kestabilan politik dan tanggungjawab dalam penggal ke-14 Parlimen tanpa ada sebarang kecenderungan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” kata ketiga-tiga NGO tersebut dalam surat terbuka bersama hari ini.

Mengenai penyerahan kuasa tersebut, tiga NGO itu berkata, walaupun tidak ada ketetapan masa yang dinyatakan dalam perjanjian, Dr. Mahathir dalam pelbagai majlis sering berkata tempoh peralihan akan mengambil masa dua hingga tiga tahun selepas PH membentuk kerajaan.

“Bagi memastikan kelancaran peralihan, Anwar perlu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri enam bulan sebelum tarikh yang ditetapkan.

“Dengan pelan peralihan yang jelas, ini akan memadamkan desas-desus dan teori-teori konspirasi yang dibuat oleh mereka yang ingin mendapat laba daripada ketidakstabilan dan perpecahan gabungan PH,” gesa kenyataan bersama itu.

Bersih 2.0, ABIM dan GBM turut mencadangkan beberapa langkah lain bagi mengembalikan kestabilan politik.

Antaranya menetapkan had penggal Perdana Menteri agar tidak memegang kuasa terlalu lama dan pengurangan penumpuan kuasa Eksekutif yang dimiliki Perdana Menteri.

Tiga NGO itu juga mahu pengukuhan institusi awam utama seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Jabatan Peguam Negara dipercepatkan.

“Kami menggesa pimpinan kerajaan PH, Dr. Mahathir, Majlis Presiden PH dan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk mengambil tindakan tanpa lengah lagi bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan ini.

“Mesej yang jelas mesti dihantar kepada semua yang kebajikan negara dan agenda reformasi mendahului kepentingan peribadi dan parti,” menurut mereka bersama.

Tiga NGO itu turut menasihat PH bahawa parti itu hanya mempunyai kurang daripada empat tahun untuk memenuhi janji serta memulihkan kestabilan politik dan pentadbiran. – UTUSAN ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *