Tulisan Jawi: Tun Mahathir, Maszlee jadi sasaran Ramasamy

Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik menjadi sasaran Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Prof. Dr. P. Ramasamy berhubung pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks di sekolah jenis kebangsaan.

Menurut Ramasamy, beliau sukar untuk mempercayai bahawa Dr. Mahathir mahu memaksa pelaksanaan pembelajaran khat tanpa memahami akibatnya dalam sebuah masyarakat yang terbahagi dan pelbagai seperti di Malaysia.

Mengenai Maszlee pula, Ramasamy yang menulis di Facebook beliau hari ini berkata, tidak ada gunanya bercakap mengenai Menteri Pendidikan itu.

“Saya sukar untuk mempercayai bahawa Perdana Menteri yang begitu moden dan mempunyai matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara maju mahu memaksa penguatkuasaan pelaksanaan khat tanpa memahami akibatnya dalam masyarakat yang terbahagi dan pelbagai seperti di Malaysia.

“Tak ada gunanya bercakap tentang Menteri Pendidikan yang bukan sahaja merosakkan kemasukan matrikulasi tetapi telah menegur bukan Melayu kerana tidak memberikan peluang yang sama kepada orang Melayu dalam sektor swasta,” tulis Ramasamy.

Ramasamy turut menyindir Maszlee yang dianggap telah hilang kredibiliti namun mempunyai keberanian untuk menyatakan bahawa khat tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan agama Islam.

Dalam hantaran tersebut Ramasamy juga berkata, cadangan memperkenalkan kaligrafi khat di sekolah tanpa sebarang perundingan dengan pihak yang berkepentingan boleh diibaratkan sebagai ‘meletakkan pedati di hadapan kuda’.

“Isu di hadapan kita adalah kenapa kerajaan begitu bersemangat untuk melaksanakan khat tanpa konsultasi yang betul.

“Sekiranya langkah ini disepadukan dalam sukatan pelajaran sekolah rendah semasa pentabiran Barisan Nasional kenapa secara membuta tuli kini dilaksanakan. Mengapakah dasar BN yang tidak betul telah diterima secara tidak kritikal?” tanya Ramasamy.-UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker