Buang masa kumpul tanda tangan untuk Anwar – Ketua Wanita PKR

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha menyifatkan tindakan untuk mengumpulkan tanda tangan pemimpin parti di peringkat bahagian di seluruh negara bagi menyokong kepemimpinan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai membuang masa.

Ini kerana menurutnya, jawatan Presiden parti yang dipegang Anwar adalah merupakan hasil kemenangan tanpa bertanding dalam pemilihan parti lepas.

“Perbuatan mengambil tanda tangan tidak menyatukan, malah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli akar umbi,” katanya yang dipetik menerusi laporan portal berita Free Malaysia Today hari ini.

Semalam Ketua PKR Kangar, Noor Amin Ahmad mendakwa lebih 90 peratus atau 197 daripada 219 Ketua Bahagian PKR di seluruh negara menyokong kepemimpinan Anwar dan menafikan berlaku perpecahan dalam parti itu.

Amin mendakwa, semua ketua bahagian itu telah dihubungi dan tanda tangan pengesahan mereka turut diperolehi berdasarkan perakuan mereka yang menandatangani resolusi Majlis Pemukiman Pimpinan PKR di Port Dickson pada 21 Julai lalu.

Dalam pada itu, Haniza berkata, dakwaan mendapat tanda tangan 197 ketua cabang PKR adalah tidak tepat kerana ada di antara mereka tidak dihubungi.

“Lebih baik tumpukan perhatian dan usaha kepada pembangunan negara serta menyatukan ahli parti,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker