Ahli DAP gesa Tun bersikap gentleman, hormati janji

Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu mahu Tun Dr. Mahathir Mohamad bersikap seperti seorang lelaki terhormat atau gentleman dengan mematuhi janji beliau hanya menjadi Perdana Menteri sementara untuk tempoh dua tahun yang dipersetujui Pakatan Harapan (PH).

Ahli DAP itu mahu Dr. Mahathir tidak lagi menimbulkan keraguan termasuk seolah-olah menyebelahi Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilihat mempunyai konflik dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Liu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Selangor berkata, pengundi yang memberi kemenangan kepada PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hanya mengundi Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara, dengan Anwar kemudian mengambil alih.

“Dr. Mahathir, tolong menjadi seorang lelaki terhormat dan memenuhi janji untuk melepaskan jawatan selepas dua tahun supaya Anwar dapat mengambil alih sebagaimana dipersetujui.

“Inilah yang dipilih pengundi. Mereka tidak mengundi untuk lima tahun dengan anda menjadi Perdana Menteri. Mereka mengundi anda sebagai Perdana Menteri sementara, dengan Anwar akhirnya mengambil alih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli DAP itu berkata, apabila PH memenangi PRU-14, terdapat peluang kepada Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi Perdana Menteri namun menolaknya kerana mahu mematuhi janji bahawa Dr. Mahathir akan menjadi Perdana Menteri sementara.

“Meskipun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai sedikit kerusi, kesemua komponen PH mengikut perjanjian janji yang dibuat untuk membolehkan anda (Dr. Mahathir) menjadi Perdana Menteri untuk tempoh selama dua. Mengapa? Kerana kita menghormati janji-janji yang dibuat.

“Setakat ini anda telah berkata akan menghormati janji. Namun, tidak mahu menyatakan tarikh penyerahan (jawatan Perdana Menteri).

“Sebaliknya, berkata mungkin dua hingga tiga tahun dan kadang-kala anda menjelaskan akan berlaku hanya apabila ekonomi pulih. Siapa yang tahu berapa lama (pemulihan ekonomi)?” soal Liu.

Beliau mengingatkan Dr. Mahathir bahawa janji yang diberikan kepada pengundi bukanlah Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri sehingga ekonomi pulih.

Liu berkata, baru-baru ini terdapat keraguan tentang sama ada Dr. Mahathir serius berpegang teguh pada kata-kata.

“Mohamed Azmin seolah-olah merasakan awak memihak kepadanya. Mengapa dan bagaimana beliau mempunyai pemikiran sedemikian? Mungkin kerana anda (Dr. Mahathir) telah memberikannya pemikiran sebegitu menerusi tingkah laku anda.

“Malah bukan hanya Mohamed Azmin yang mempunyai pemikiran sebegitu itu. Sesiapa yang memerhatikan suasana politik mempunyai persepsi serupa,” katanya.

Liu berharap Dr. Mahathir sedar di dalam PRU-14, Pengerusi Bersatu itu mempunyai peluang yang sangat jarang diperolehi iaitu dapat menebus diri di mata pengundi yang menganggap bekas Presiden UMNO itu melakukan banyak kesalahan semasa ‘tahun-tahun Mahathir’.

“Sila hormati hasrat pengundi dan turun dengan baik dalam tempoh masa yang dipersetujui,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker