Kerjasama UMNO-Pas rencatkan usaha puak liberal

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Pemerhati politik melihat kerjasama UMNO dan Pas bakal merencatkan usaha-usaha liberal oleh sesetengah ahli politik yang memperjuangkan kesamarataan.

Bagi penganalisis politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub, disebabkan hal itu, akan ada usaha yang sentiasa dilakukan untuk menggagalkan kerjasama kedua-dua parti Melayu Islam tersebut.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut siapakah pihak yang dianggap liberal itu.

Jelas beliau, sekiranya UMNO dan Pas berjaya memeterai piagam kerjasama, maka pengundi-pengundi Melayu dan atas pagar yang menolak Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu akan kembali mengundi BN dan PAS.



“Kalau lihat dalam konteks hari ini, negara sedang bergerak ke arah kesamarataan, cuba diletakkan dalam konteks sama rata, maka apa yang dilakukan oleh Pas dan UMNO ini adalah satu penghalang kepada usaha kesamarataan ini.

“Maka sebab itulah kerjasama (UMNO-Pas) ini akan ditentang oleh mereka yang melihat Melayu Islam bakal kembali kepada satu tonggak pentadbiran negara,” katanya yang dipetik daripada portal UMNO-Online semalam.

Piagam muafakat di antara UMNO dan Pas yang telah mencapai kata sepakat untuk berkerjasama (berta’awun) antara satu dengan lain akan ditandatangani pada 14 September depan.

Kata Mohammad Tawfik, jika mahu orang Melayu dan golongan atas pagar kembali menyokong UMNO dan Pas, syaratnya adalah mewujudkan kerjasama kedua-dua parti secara rasmi.



“Di saat orang Melayu Islam terkepung dengan pelbagai isu, maka ini yang perlu diambil kira dan diambil kesempatan oleh UMNO dan Pas untuk kembali memberi keyakinan kepada orang Melayu Islam bahawa mereka telah berubah dan telah menerima pengajaran yang besar dalam PRU-14 lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker