Kelebihan ibadat Zulhijah

ALHAMDULILLAH, kita menyambut ketibaan bulan Zulhijah, bulan ke-12 dalam takwim Islam.

Begitu pantas masa berlalu. Antara amalan fardu yang utama dalam bulan ini adalah ibadat haji sebagai melengkapkan rukun Islam kelima bagi yang berkemampuan.

Kepada para tetamu Allah di tanah suci, kita doakan mereka diberi kesihatan yang berkekalan dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna seterusnya beroleh haji yang mabrur. Bagi kita di Malaysia, marilah kita mengambil kesempatan meningkatkan amalan sunat dalam 10 hari awal Zulhijah.

Ada beberapa dalil al-Quran dan hadis yang membicarakan kelebihan beramal dalam bulan Zulhijah yang juga disebut bulan haji. Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: Demi fajar dan malam yang 10. (al-Fajr: 1-2)

Menurut Ibnu Kathir, yang dimaksudkan di sini adalah 10 malam yang pertama pada bulan Zulhijah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lain-lain. (riwayat Imam Bukhari).

Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud: Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain dari hari-hari yang sepuluh ini. Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid). (riwayat Imam Ahmad, at-Tirmidzi).

Sheikhul Islam, Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam membicarakan sebab istimewanya 10 hari Zulhijah adalah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah dan haji.

Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.

Amalan-amalan yang utama:

Puasa – Disunatkan umat Islam memperbanyak puasa mulai 1 hingga 9 Zulhijah sebagaimana dicontohkan oleh Nabi SAW. Daripada Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari setengah isteri-isteri baginda SAW bersabda yang bermaksud: Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijah, pada hari Asyura (10 Muharam) dan tiga hari pada setiap bulan. (riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa’ei)
Solat. Disunatkan keluar cepat menuju ke tempat solat fardu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ia sebaik-baik amalan. Thauban r.a berkata: Aku mendengar nabi SAW bersabda (maksudnya): Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu. (riwayat Muslim). Ini umum untuk semua waktu.
Takbir, tahlil dan tahmid. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (La-ilaha-illallah), bertakbir (Allahu Akbar) dan bertahmid (Alhamdulillah).” (riwayat Imam Ahmad).
Perlu diketahui bahawa takbir hari raya itu ada dua macam iaitu takbir mursal dan takbir muqaiyad. Takbir muqaiyad dilakukan mulai solat Subuh pada hari Arafah (9 Zulhijah) hingga waktu Asar pada hari ketiga tasyrik (13 Zulhijah). Cara bertakbir adalah dengan ucapan: Allahu Akbar, Allahu Akbar, Laa ilaha illallah, Wallahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Puasa hari Arafah. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijah) kerana amalan ini telah sabit dari Rasulullah SAW.
Baginda bersabda yang bermaksud: Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. (riwayat Muslim).

Bagaimanapun, puasa ini hanya disunatkan kepada mereka yang tidak mengerjakan haji. Bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah tidak disunatkan berpuasa.

Berkorban. Hukum menyembelih binatang korban adalah sunat muakkad dan juga sebagai menghidupkan syariat Nabi Ibrahim yang kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad SAW.
Baginda SAW bersabda yang bermaksud: Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang)… (riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)

Hari Raya Korban (hari Nahr), 10 Zulhijah.
Bagi mereka yang melakukan ibadat korban, ingatlah pesanan Nabi SAW yang bermaksud: Apabila masuk 10 terawal bulan Zulhijah dan seseorang itu telah berniat untuk menunaikan ibadat korban, maka janganlah dia membuang (memotong) bulu dan kukunya. (riwayat Muslim).

enurut Imam Nawawi: Para ulama berbeza pendapat tentang hukum hadis ini. Imam Ahmad dan sebahagian ulama Syafie mengatakan haram perbuatan menghilangkan bulu tadi, tetapi Imam Syafie dan ulamanya yang lain mengatakan ia adalah makruh tanzih (iaitu makruh yang tidak sampai kepada haram). (Syarah Sahih Muslim).

Yang terbaik, mereka yang berkenaan membuat persediaan awal iaitu memotong kuku, bulu dan sebagainya sebelum masuk 1 Zulhijah.

Mohd. Radzi Mohd. Zin
Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker