Himpunan bantah khat, Jawi bakal cetus reaksi balas

Share


Kumpulan pendesak Cina, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) diingatkan tidak meneruskan himpunan pada Isnin ini bagi membantah penambahan seni khat jawi dalam subjek Bahasa Melayu, kerana dibimbangi akan mencetuskan reaksi balas daripada orang Melayu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, adalah lebih baik golongan itu yang beliau percaya disokong oleh para pemimpin DAP mengadakan perbincangan secara tertutup menerusi kementerian berkaitan.

Beliau berkata, sekiranya perhimpunan itu diteruskan, tidak mustahil orang Melayu akan bangkit melakukan perkara sama untuk mempertahankan tulisan Jawi yang merupakan sebahagian daripada mereka, sejarah dan Perlembagaan.

“Tulisan Jawi merupakan sebahagian daripada orang Melayu dan sejarah (tanah air). Malah dalam Ringgit Malaysia turut tertera tulisan ini (Jawi).

“Oleh itu, saya nasihatkan Dong Jiao Zong supaya tidak mencurahkan minyak ke dalam api dan membakar sentimen perkauman. Sepatutnya mereka dan DAP menggunakan jalan perundingan secara tertutup kerana mereka kini adalah kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Alor Setar di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, sikap DAP yang membantah rancangan pelaksanaan seni khat dan tulisan Jawi sebagai sebahagian mata pelajaran Bahasa Melayu, hanya mencerminkan sikap parti itu yang memperjuangkan satu bangsa.

“Ini dapat dilihat dengan pemimpin-pemimpin DAP yang membantah rancangan itu (pelaksanaan seni khat dan tulisan Jawi),” katanya.

Baru-baru ini seramai 138 orang pemimpin akar umbi DAP termasuk 13 Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) parti itu membantah rancangan pelaksanaan seni khat dan tulisan Jawi sebagai sebahagian mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat.

Hal demikian susulan kenyataan Kementerian Pendidikan bahawa pengenalan tulisan khat adalah bagi memupuk gaya penulisan indah dan menegaskan perkara itu tidak berkaitan dengan tulisan Jawi dan pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan. – UTUSAN ONLINE



One thought on “Himpunan bantah khat, Jawi bakal cetus reaksi balas

  • August 4, 2019 at 11:37 am
    Permalink

    ish ish la Dong jiao zong .
    Macam-macam

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *