Piagam UMNO-PAS: Ada Pihak Usaha Gagalkan Kerana Mahu Pejuangkan Liberalisasi

Share


Penganalisis politik tempatan, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, piagam UMNO dan PAS bakal merencatkan usaha liberalisasi oleh sesetengah ahli politik yang memperjuangkan kesamarataan, maka sebab itulah ada sahaja usaha yang dilakukan untuk menggagalkan kerjasama kedua-dua parti Melayu Islam terbesar ini.

Jelas beliau, sekiranya UMNO dan PAS berjaya memeterai piagam tersebut, maka pengundi-pengundi Melayu dan atas pagar yang menolak Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) yang lalu, akan kembali mengundi Barisan Nasional (BN) dan PAS.

“UMNO dan PAS adalah satu-satunya tempat untuk orang Melayu Islam bersandar. Jika kita lihat kepada parti Amanah, ia tidak mencerminkan Islam, PPBM pula tujuannya untuk apa? Tidak ada hala tuju yang jelas. UMNO adalah sebuah parti yang terkenal dengan Melayunya dan PAS terkenal dengan Islamnya… inilah satu rangkuman yang cukup baik untuk kukuhkan Melayu Islam, bersatu-padu bekerjasama demi anak cucu pada masa akan datang.

“Sebenarnya bila UMNO dan PAS merancang untuk buat piagam, antara yang ditakuti oleh sekelompok ahli politik adalah Islam dan Melayu itu menjadi lebih kuat. Jika kita lihat pada tahun 1971 bila UMNO dan PAS bentuk kerajaan perpaduan, kesannya begitu luar biasa pada Melayu Islam.

“Di corong radio laungan azan, sebenarnya itu bermula pada tahun 1971 iaitu hasil kerjasama UMNO dan PAS. Kalau lihat dalam konteks hari ini, negara sedang bergerak ke arah kesamarataan, cuba diletakkan dalam konteks sama rata maka apa yang dilakukan oleh PAS dan UMNO ini adalah satu penghalang kepada usaha kesamarataan ini. Maka sebab itulah kerjasama ini akan ditentang oleh mereka yang melihat Melayu Islam bakal kembali kepada satu tonggak pentadbiran negara,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Tawfik, demi merialisasikan piagam UMNO dan PAS ini maka kedua-dua parti ini harus terus bergerak ke hadapan dan jangan lagi menoleh kepada sejarah permusuhan lampau.

“Kita kena akui, sebagai sebuah parti yang dominan, bergaduh itu perkara biasa hatta dalam keluarga pun pergaduhan itu biasa. Inilah masanya UMNO dan PAS perlu lihat semula kerjasama ini untuk apa… kalau untuk Melayu Islam, perlu laksanakan segera dan perlu lihat juga di mana kejujuran itu perlu diletakkan. Jangan kita menoleh sejarah belakang terlalu lama. Mulakan satu persaudaraan baru antara UMNO dan PAS demi kepentingan Islam.

“Saya yakin, orang Melayu Islam dan pengundi atas pagar akan kembali menyokong UMNO dan PAS dalam pilihan raya akan datang. Dalam keadaan politik masa kini yang begitu kecoh, pilihan raya boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

“Sebab itu, jika mahu orang Melayu dan golongan atas pagar kembali menyokong UMNO dan PAS, syaratnya adalah wujudkan kerjasama ini secara rasmi. Di saat orang Melayu Islam terkepung dengan pelbagai isu kepentingan orang Melayu Islam maka ini yang perlu diambil kira dan diambil kesempatan oleh UMNO dan PAS untuk kembali memberi keyakinan kepada orang Melayu Islam bahawa mereka telah berubah dan telah menerima pengajaran yang besar dalam PRU-14 yang lalu,” tegas beliau.

Justeru, UMNO dan PAS perlu mengambil signal yang diberikan oleh rakyat pada PRU-14 yang lalu. UMNO dan PAS tidak harus duduk berjauhan antara satu sama lain tetapi mesti bekerjasama demi kepentingan Melayu Islam dan seterusnya orang bukan Islam juga. – MediaUMNO


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *