Kadir Jasin sindir anggota Kabinet, Azmin

Datuk Abdul Kadir Jasin

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Pengikut setia Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Abdul Kadir Jasin hari ini menyindir anggota kerajaan termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dirasakan mungkin selesa kerana tiada rombakan Kabinet.

Abdul Kadir yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengakui, Perdana Menteri mungkin berulang kali berkata tiada rombakan Kabinet serta akan menunaikan janji menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tetapi ini bukan kesempatan kepada para menteri untuk berasa selamat dan meneruskan cara-cara tidak tentu arah mereka.

“Mungkin ini cara Perdana Menteri mengatakan (kepada Kabinet) ‘mungkin lebih baik kamu semua perbaiki perangai masing-masing atau berundur apabila saya tiada lagi di sini untuk mempertahankan kamu’.

“Jadi mana-mana menteri yang rasa tidak tahan hendak berlakon dalam filem atau klip video, sila pastikan ia kategori umum,” katanya menerusi muat naik dalam blognya, kadirjasin.blogspot.com hari ini.

Sebaliknya, Abdul Kadir mahu isu-isu mendesak lebih diberikan perhatian termasuklah penderitaan warga Felda, nelayan, pesawah, penoreh getah dan peneroka Felcra.

Di dalam blog beliau juga, Abdul Kadir turut membangkitkan mengenai video seks gay yang tersebar sejak seminggu selepas Aidilfitri lalu sehingga mencorakkan landskap politik semasa tanah air.

Beliau turut menyentuh bagaimana penyebaran video aksi seks sejenis tersebut mempengaruhi suara-suara untuk menyokong Dr. Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Ia akan menghantui orang-orang yang berkenaan tanpa mengira sama ada mereka yang mengakuinya, yang menafikannya, atau dalangnya, mungkin untuk sepanjang hayat mereka,” katanya.-UTUSAN ONLINE

https://mykmu.net/2017/02/27/kadir-jasin-hasut-rakyat-dengan-fitnah-br1m-dan-gst-pula/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker