Sarawak sedia ‘berperang’ dengan PH: Abang Johari

Share


KUCHING – [DIKEMASKINI] Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Openg menggesa semua pimpinan dan ahli akar umbi di negeri itu bekerja keras bagi memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang dan kekal memerintah pada pilihan raya negeri akan datang.

Katanya lagi, GPS juga sedia sepenuhnya untuk ‘berperang’ dengan Pakatan Harapan (PH) yang kini menerajui pemerintahan negara.

“Saya cakap terus terang, kalau hendak berperang, kita perang betul-betul.

“Peluru kena betul. Tembak kena betul. Jangan tembak kena kerak. Sebab itu kita mahu pemimpin akar umbi sentiasa bersedia. Jangan harap kami (pemimpin) atas. Kita kena berjuang sama-sama,” katanya seperti dipetik Suara Sarawak.

Laungan amaran itu diberikan Abang Johari yang juga Pengerusi GPS ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah dan Seminar Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sebuah hotel di sini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri James Jemut Masing serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian.

Dalam ucapan sama, Abang Johari turut mendedahkan seorang menteri dari PH pernah mencadangkan supaya kuasa pentadbiran PBT Sarawak diserahkan kepada kerajaan persekutuan.

“Ada orang cuba untuk mengambil hak kita (Sarawak) tetapi saya katakan tidak, PBT sarawak harus ditadbir kerajaan negeri sendiri,” katanya.

Terdahulu, seramai 745 ahli majlis telah dilantik dalam kalangan 24 majlis tempatan di negeri itu untuk tempoh 2019 hingga 2021.

Daripada jumlah tersebut, 318 orang merupakan muka baharu.

Sinar Online


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *