Jangan cetus api perselisihan – Titah Agong

KUALA LUMPUR 30 Julai – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua pihak agar jangan sekali-kali mencetuskan api perselisihan dengan membangkitkan perkara yang boleh menggugat dan meruntuh keharmonian negara.

Seri Paduka menegaskan bahawa perpaduan dan keharmonian rakyat adalah tiang seri dan kekuatan negara.

“Bermain dengan api bukan hanya membakar diri sendiri, malahan turut membakar seluruh kampung halaman,” titah Sultan Abdullah pada Istiadat Pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, di Istana Negara, di sini hari ini.

Menegaskan bahawa institusi Yang di-Pertuan Agong amat penting dalam sistem kenegaraan Malaysia, yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen raja berperlembagaan, Sultan Abdullah bertitah institusi itu bukanlah sekadar simbol atau pun lambang semata-mata,

“Ia adalah asas perpaduan, penyatuan bangsa dan pencetus semangat patriotisme kebangsaan. Ia adalah merupakan satu roh yang jika diwarisi dan dihayati oleh setiap anak watan, boleh menerbitkan rasa cinta dan kesetiaan kepada negara,” titah Seri Paduka.

Menyedari hakikat itu, Seri Paduka berikrar akan berusaha dengan sedaya mungkin untuk mewujudkan perpaduan dan sikap toleransi di antara semua kaum, bangsa dan agama.

“Beta akan mengutamakan rakyat; menghormati yang tua dan memuliakan yang muda. Semua ini akan beta zahirkan dengan penuh rasa tawaduk. Sesungguhnya; ‘ular yang menyusur akar; tidak sekali-kali akan hilang bisa-nya’.” titah Seri Paduka yang menyambut baik usaha kerajaan mengukuhkan perpaduan melalui penubuhan Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat.

Menyingkap tarikh keramat 10 Julai 1980 iaitu ketika Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh, Sultan Abdullah bertitah telah ditakdirkan Allah SWT bahawa baginda pula ditabalkan hari ini di atas singgahsana dan mahkota yang sama digunakan oleh Almarhum Paduka Ayahanda, 39 tahun lalu.

Sultan Abdullah turut mengenang jasa Almarhum Sultan Ahmad Shah yang disifatkan sebagai tegas namun terbuka dalam melontar mutiara pandangan.

“Hubungan baginda dengan rakyat adalah begitu akrab yang jelas melambangkan jiwa baginda yang sentiasa memberi keutamaan kepada rakyat,” titah Seri Paduka, yang turut meminta hadirin memanjatkan doa kepada Allah SWT agar roh Almarhum Paduka Ayahanda ditempatkan bersama para solihin.

Sultan Abdullah turut menarik perhatian bahawa pemerintahan baginda kali ini ‘seperti bagai berjanji’ kerana Tun Dr Mahathir Mohamad kini merupakan Perdana Menteri ketujuh yang juga perdana menteri keempat ketika pemerintahan Almarhum Sultan Ahmad Shah.

“Maka benarlah bagai dikata ‘negarawan ulung tidak lapuk di telan zaman dan tidak usang dimamah usia’,” titah Seri Paduka.

Justeru, Sultan Abdullah berharap kerjasama erat dan persefahaman yang pernah terjalin antara Almarhum dan perdana menteri dapat diteruskan semasa pemerintahan Seri Paduka demi kesejahteraan negara dan rakyat tercinta.

Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan bahawa kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir, yang berpengalaman luas lagi bestari, akan dapat mengharungi apa juga rintangan mendatang dan seterusnya membawa negara ke mercu kejayaan.

Yang di-Pertuan Agong juga bertitah mengalu-alukan usaha yang dilaksanakan kerajaan dalam menyusun semula rancangan pembangunan dan mengukuh fiskal negara, selain usaha meningkatkan tadbir urus dan integriti, memerangi rasuah serta mempertahankan keluhuran undang-undang.

“Beta ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan beta yang berpandangan jauh dalam merencana gagasan ekonomi baru yang dinamakan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Beta berharap usaha-usaha untuk membasmi kemiskinan turut diberikan keutamaan. Kitaran warisan kemiskinan wajar ditangani segera; kerana ia bakal menjejas agenda pembentukan negara maju,” titah Seri Paduka.

Pada Istiadat Pertabalan yang dihadiri Raja-raja Melayu dan tetamu diraja luar negara, Sultan Abdullah menzahirkan ucapan menjunjung kasih di atas keberangkatan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha pada istiadat pertabalan itu yang disifatkan baginda sebagai manifestasi keakraban ikatan persaudaraan antara Malaysia dan Brunei.

“Beta berasa amat berbesar hati dengan keberangkatan Yang Mulia Sheikh Mohammed bin Zayed Al-Nahyan. Sheikh Mohammed dan beta telah sekian lama menjalin persahabatan sejak kami berdua menjalani latihan di Sandhurst dan kemudian di Oxford. Beta berdua berkongsi kenangan indah bersama-sama sebagai sahabat serta saudara.

“Beta juga ingin mengambil peluang ini turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua tetamu yang datang dari seluruh dunia untuk menghadiri istiadat gilang-gemilang ini. Kehadiran semua tetamu ini tidak syak lagi menjadikan istiadat ini malah lebih istimewa lagi,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan rasa terharu dan berbesar hati atas ikrar taat setia dan tanda kasih kepada baginda yang telah dilafazkan Perdana Menteri yang mewakili pihak kerajaan, anggota perkhidmatan awam, anggota keselamatan dan seluruh rakyat semasa istiadat pertabalan hari ini. – BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker