Anwar buat / batal program di Terengganu, Azmin pun sama

Anwar batal program, Azmin pun sama

Kemelut dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin meruncing dengan terbaharu berlaku pembatalan dua program lawatan rasmi membabitkan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke negeri ini.

Mengikut jadual, Anwar akan mengadakan program Jelajah Presiden PKR ke Terengganu pada 2 Ogos iaitu Jumaat ini manakala Mohamed Azmin pula atas kapasiti sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi ke majlis Silaturahim Bersama Pekebun Kecil RISDA di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini sehari sebelumnya iaitu esok.

Berikutan perkembangan itu, PKR Terengganu yang mengadakan sidang media khas di sini hari ini diketuai Pengerusinya, Azan Ismail lantas menyifatkan Mohamed Azmin sebagai melampau kerana membuat keputusan tergesa-gesa sehingga menyusahkan pihak lain.

Menurut Azan, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu bukan sahaja tergesa-gesa mengadakan programnya ke Terengganu yang didakwanya mengikut program Anwar malahan juga begitu mudah bertindak membatalkan program itu sejurus pembatalan program Anwar.

“Kita sepatutnya ada dua program iaitu Jelajah pemimpin PKR peringkat Pusat iaitu lawatan Presiden PKR (Anwar) ke Terengganu pada 2 Ogos (Jumaat ini) yang telah dirancang beberapa minggu lalu, namun kita juga ketahui tiga hari lalu Azmin pula selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi juga atur lawatan hampir sama iaitu sehari sebelum lawatan Datuk Seri Anwar ke Terengganu.

“Pembatalan Datuk Seri Anwar ke negeri ini kerana beliau bersama isteri dan keluarga akan mengerjakan ibadat Haji pada 3 Ogos ini (Sabtu) dan kami setuju tangguhkan lawatan beliau ke satu tarikh yang kita jangka akhir Ogos ini.

“Malangnya kami agak terkejut apabila terima satu pesanan whatsapp daripada Setiausaha Pegawai Tugas-Tugas Khas di Pejabat Menteri Hal Ehwal Ekonomi bahawa program lawatan Azmin esok juga dibatalkan,” katanya.

Sidang media itu turut dihadiri Naib Pengerusi I PKR negeri, Ahmad Saberi Ali; Pengarah Komunikasi PKR negeri, Ajwad Yusof dan Ketua Wanita PRK Kuala Ternegganu, Lau Mei LIng.

Azan seterusnya berkata, pihaknya terkilan dan kecewa dengan pembatalan mengejut program yang sepatutnya dihadiri Mohamed Azmin itu kerana telah menjejaskan segala persiapan melibatkan agensi-agensi di bawah kementerian berkenaan terutama FELDA, FELCRA dan RISDA.

“PKR Terengganu memang tidak mempunyai apa-apa maklumat sehingga dua hari lepas kita terima kad jemputan dan surat daripada agensi tersebut yang memaklumkan tentang lawatan rasmi Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

“Saluran parti memang tak ketahui perkara ini dan saya ingin nyatakan pembatalan ini tidak ada kaitan dan tidak melibatkan apa-apa keputusan di peringkat PKR Terengganu, malah PH Terengganu juga keliru dan tak tahu tentang keputusan ini (pembatalan),” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker