Umno sorok duit luar negara skrip terbaru Mahathir tutup kelemahan PH.

Share

Tuduhan sorok duit alasan tutup kelemahan PH

Tohmahan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya kerajaan terdahulu menyimpan duit di luar negara bagi menggangu PH memulihkan ekonomi, adalah “skrip terbaru” beliau bagi menutup kelemahan urus tadbir ekonomi Kerajaan PH sendiri.

Sejak dulu gaya pentadbiran beliau tidak berubah. Beliau akan menutup kelemahan diri dengan menyalahkan orang lain. Inilah stail yang digunakan ke atas ramai musuh beliau termasuk Dato Seri Anwar Ibrahim dahulu.


Umum mengetahui, Dr Mahathir sememangnya mempunyai “kepakaran” mencipta skrip memburukkan lawan. Kemudian beliau akan mengulangi skrip itu sehingga mempengaruhi rakyat untuk mempercayainya. Sedangkan semuanya adalah persepsi yang menjurus kepada fitnah politik.

Apa yang kita kesal tuduhan memburukkan kerajaan terdahulu oleh beliau dilakukan dalam satu wawancara dengan agensi berita Turki Anadoku semasa lawatan rasmi ke Turki. Sikap beliau sangat berbeza berbanding dahulu.

Dahulu, beliau sentiasa menyelar media asing yang memburukkan negara. Namun, kini beliau pula menggunakan media asing dan menjadi “jurucakapnya”.


Bagaimapun, saya yakin rakyat sudah bijak dan boleh menilai. Rakyat boleh meneliti fakta sebenar kedudukan ekonomi Malaysia berasaskan angka tunjuk yang ada.

Ramai tahu bahawa Kerajaan BN mewariskan yang terbaik kepada Kerajaan PH. Fakta membuktikan sebelum 9 Mei 2018 hutang negara ialah RM686.8 bilion, namun ia meningkat sebanyak RM114 bilion menjadikan hutang terkini ialah RM804 Bilion. Ringgit daripada RM3.84 berbanding 1USD kita meningkat kepada RM4.11 berbanding 1 US Dollar. Indeks di Bursa Malaysia dulunya ialah 1896 kini merosot kepada 1647.96 hilang lebih 240 mata. Ini gambaran kelemahan Kerajaan PH.

Justeru itu, kelemahan mengurus ekonomi negara banyak berpunca dari ketidakcekapan menteri-menteri PH. Percanggahan kenyataan sesama mereka sering berlaku. Penipuan fakta ekonomi dan kenyataan kurang cerdik Menteri Kewangan, menimbulkan ketidakyakinan pelbagai pihak termasuk pelabur pada Malaysia. Semua punca kepada kelemahan ekonomi Malaysia.


Kita minta Dr Mahathir menghentikan sikap suka menyalahkan orang lain, sebaliknya lihatlah kelemahan pentadbirannya sendiri yang sudah hilang fokus akibat terlalu banyak krisis dan skandal dalam Kerajaan PH. Tumpulah mentadbir negara ini.

Kemudian, Perdana Menteri juga harus membuat siasatan, adakah kemungkinan aktiviti ekonomi beliau disabotaj oleh pasukan beliau sendiri? Di samping itu, amalan kronisme, korupsi dan nepotisme juga semakin berkembang dalam Kerajaan PH.

Apa yang nyata, di bawah Kerajaan PH, banyak aset negara yang sudah dijual ke pihak lain? Diantaranya IHH Berhad, BDO Unibank, dan banyak lagi kepentingan dalam Khazanah Nasional dijual. Kemudian banyak projek yang dulunya PH kritik dilaksanakan semula seperti ECRL, Bandar Malaysia, TRX dan beberapa lagi. Semua ini gambaran ketidakupayaan Kerajaan PH mengendalikan ekonomi negara.

Paling utama rakyat menunggu prestasi sebenar hasil kerja kerajaan PH seperti yang mereka dijanjikan dalam manifesto. Sehingga ini, tiada apa pembaharuan dilakukan. Jadi hentilah memberi alasan demi alasan dan mencari kesalahan orang lain. Akuilah kegagalan sendiri. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply