Rogol amah: Umum segera hasil siasatan

Share


PULAU PINANG 28 Julai – Hasil siasatan kes rogol pembantu rumah melibatkan Exco Kerajaan Negeri Perak perlu diumumkan segera bagi mengelak persepsi negatif terhadap pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).
RAHMAD ISAHAK

Aktivis politik yang juga bekas ahli DAP, Rahmad Isahak berkata, adalah amat mengecewakan selepas beberapa minggu laporan dibuat, tiada maklum balas berhubung hasil siasatan kes itu diumumkan sehingga kini.

Menurut beliau, kes itu tidak boleh dibiarkan berpanjangan tanpa sebarang tindakan kerana bakal memberi gambaran kononnya pihak berkuasa khususnya PDRM menerima tekanan daripada pihak tertentu dalam menjalankan siasatan.

Apatah lagi, jelasnya, kes itu bukan sahaja menjadi perhatian penduduk di negara ini, malah turut diikuti dengan rapat rakyat Indonesia sekali gus boleh menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara.

“Pembantu rumah rakyat Indonesia itu bertindak membuat laporan polis mendakwa dia dirogol oleh majikannya sendiri iaitu seorang yang berkepentingan politik di peringkat kerajaan negeri.

“Pengadu pastinya sangat memahami akibat pengakuannya itu jika ia bersifat palsu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Rahmad, kes itu melibatkan soal maruah bukan sahaja kepada Kerajaan Negeri Perak malah imej serta kredibiliti Kerajaan Pusat memandangkan tertuduh merupakan pemimpin DAP yang merupakan salah satu parti komponen kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, tuduhan itu juga adalah sesuatu yang serius dan tidak boleh dilihat seolah-olah diberikan layanan istimewa kepada mana-mana pihak disebabkan kaitan politik sehingga dilihat menidakkan hak pengadu.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong dikaitkan dengan tuduhan rogol berikutan laporan polis yang dibuat seorang pembantu rumah warga Indonesia pada 8 Julai lalu yang mendakwa dirogol Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dari DAP itu.

Wanita berusia 23 tahun itu dikatakan dirogol di rumah majikannya di Meru sehari sebelum laporan dibuat dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.-UTUSAN ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *