Landskap baharu politik Melayu

Share


ADA dua peristiwa penting dan menarik kepada politik Melayu Islam sejak beberapa minggu ini. Peristiwa ini boleh menjadi pembolehubah baharu kepada politik negara.

Pertamanya persetujuan dua parti politik Muslim terbesar di negara ini, UMNO dan Pas untuk memeterai persetujuan mengadakan kerjasama dalam pilihan raya umum akan datang.

Walaupun kandungan persefahaman kerjasama ini belum diumumkan, ia tentulah berkisar kepada pembahagian kerusi di kawasan-kawasan majoriti Melayu-Islam bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri.

Persetujuan itu sangat menarik kerana dua parti ini sudah bermusuhan berdekad lamanya sejak sebelum merdeka dan tidak pernah menampakkan sinar penyatuan atas nama persamaan agama dan bangsa.

Walaupun Pas kembali bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas Peristiwa 13 Mei 1969, namun kerjasama itu hanya bertahan tidak sampai lapan tahun dan berakhir akibat krisis kepimpinan kerajaan Kelantan.

Perubahan pucuk pimpinan kedua-dua parti pada 1980-an memperlihatkan limpahan perseteruan semakin melebar melampaui ruang lingkup politik kepartian semata-mata.

Pengunduran Tun Dr Mahathir Mohamad daripada tampuk kepimpinan negara dan UMNO pada 2003 turut memberi kesan kepada hubungan kedua-dua parti ini.

Walaupun permusuhan masih nyata, namun cara kepimpinan Presiden UMNO di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberi dimensi baharu kepada hubungan UMNO-Pas.

Pada 2008, UMNO dan Pas mengadakan perbincangan peringkat tertinggi mengenai kemungkinan kerajaan campuran Pas-BN di Selangor. Sungguhpun usaha itu gagal, namun perbincangan ini memberi isyarat bahawa UMNO dan Pas boleh duduk semeja membincangkan perkongsian kuasa.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Pas mula menyedari niat dan agenda sebenar DAP. Ini menyebabkan Pas mula menjarakkan diri dengan Pakatan Rakyat dan mengambil keputusan meninggalkan pakatan tersebut dan bertanding secara sendiri dalam PRU14.

Sejak berakhirnya pilihan raya umum lalu, wujud usaha bersungguh-sungguh daripada kedua-dua parti untuk saling membantu dalam pilihan raya kecil yang diadakan.

Namun kerjasama tidak formal dilihat hanya bersifat sementara dan tidak kukuh dalam mencari titik persamaan.

Justeru, dalam PRK Semenyih Februari 2019, Timbalan Presiden UMNO, yang merupakan pemangku Presiden ketika itu, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan hasrat penubuhan Jawatankuasa Kerjasama UMNO-Pas bagi mengkaji hasrat menjalinkan kerjasama secara formal.

Mohamad dilaporkan media sebagai berkata: “Kita bersetuju untuk mengadakan rundingan dan kerjasama di peringkat pusat selepas tamat PRK (pilihan raya kecil) (Dewan Undangan Negeri) Semenyih ini. UMNO akan dipengerusikan (diketuai) oleh saya sendiri, manakala Pas oleh Timbalan Presiden parti, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.”

Peristiwa kedua yang tidak kurang penting ialah ‘perang’ antara dua pemimpin Melayu berpengaruh dalam Pakatan Harapan akibat skandal video seks luar tabii yang tersebar beberapa minggu lalu.

Kedua-dua tokoh itu dicanang-canang sebagai bakal Perdana Menteri kelapan bagi menggantikan Dr Mahathir.

Walau apa juga kenyataan politik dan permainan bahasa, rakyat dapat melihat dengan jelas perpecahan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sama seperti permusuhan UMNO-Pas yang berdekad lamanya, demikian juga persahabatan akrab antara Anwar dan Azmin sudah terlalu lama dan kukuh selama berdekad.

Rasanya tiada sesiapa akan menyangka suatu hari nanti pasangan Anwar dan Azmin yang berkongsi hampir seluruh kehidupan politik mereka ketika megah di Kementerian Kewangan atau dihumban ke jalanan pada zaman reformasi akan berantakan sebegini rupa.

Siapa sangka UMNO dan Pas akan bekerjasama, manakala Anwar dan Azmin akan berpecah. Kedua-dua faktor ini mungkin akan mengubah landskap politik negara sedikit masa lagi.

Walau apa juga permainan bahasa, rakyat dapat melihat dengan jelas perpecahan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.”

Abd Jalil Backer
Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *