Azmin mahu Mahathir habiskan penggal bukan diganti Anwar.

KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN HAL EHWAL EKONOMI

Mandat rakyat yang diterima oleh Pakatan Harapan lebih setahun yang lalu memerlukan kestabilan demi melaksanakan reformasi institusi dan langkah-langkah positif untuk memulihkan ekonomi. Kejayaan melaksana agenda serampang dua mata ini akan memberikan manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik mereka.

Justeru, saya mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS, YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan pendirian PAS dan UMNO untuk memberikan dukungan penuh kepada YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal. Pendirian tersebut adalah seiring pandangan yang pernah saya lontarkan supaya usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera.

Dukungan bipartisan terhadap YAB Perdana Menteri merupakan lembaran baru dalam politik Malaysia di mana kepentingan rakyat diberikan keutamaan. Ini telah ditampilkan dalam meluluskan pindaan Perlembagaan yang menurunkan had usia mengundi pilihan raya kepada 18 tahun. Sokongan tersebut adalah bukti keyakinan terhadap kepimpinan YAB Tun Dr. Mahathir yang berhemah tinggi sesuai dengan peranannya sebagai negarawan ulung negara.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, perbedaan politik akan tetap wujud. Namun, setiap perbezaan itu perlu diurus dengan baik demi menjamin kepentingan rakyat. Kepimpinan YAB Tun Dr. Mahathir diperlukan untuk menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan (consistency) dasar-dasar Kerajaan bagi merangsang pelaburan, mencipta peluang-peluang pekerjaan serta kekayaan untuk semua.

Saya yakin kestabilan politik akan menjana keutuhan dasar dan kebijakan negara termasuk konsep ‘shared prosperity’ yang bakal mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
Menteri Hal Ehwal Ekonomi

29 Julai 2019

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker