Al-Sultan Abdullah beri peringatan jangan berpecah belah

KUALA LUMPUR – Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan semua pihak agar jangan sekali-kali berfikir untuk berpecah belah kerana pemikiran negatif seumpama itu akan merosakkan negara.

Dalam wawancara khas sempena Hari Pertabalan yang akan disambut pada 30 Julai ini, Yang di-Pertuan Agong menggambarkan perpaduan sebagai antara tema penting pemerintahan Seri Paduka Baginda sepanjang lima tahun akan datang.

“Kita tidak sepatutnya berfikir begitu. Kita patut fikir kita hendak bersatu, kita hendak menyatukan rakyat. Kalau kita berfikir hendak berpecah, kita akan berpecah.

“Jika anda fikir anda hendak berlawan, maka akan berlaku perlawanan dan pergaduhan. Jadi, jangan fikir hendak bergaduh. Kita hendak tinggal dalam suasana yang harmoni,” titah Seri Paduka Baginda dalam wawancara yang diadakan di Istana Negara pada 10 Julai lalu.

Wawancara itu turut disertai Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin; Ketua Wartawan Nasional Sinar Harian, Junhairi Alyasa; jurugambar, Asril Aswandi Shukor dan juruvideo, Yusrizal Yusuf Ahmad.

Al-Sultan Abdullah bertitah, kedudukan sebagai Yang di-Pertuan Agong menuntut Seri Paduka Baginda memperhalusi setiap keputusan, menenteramkan dan menyelesaikan masalah dalam negara jika ada.

“Saya anggap ini tanggungjawab dan setiap tanggungjawab mempunyai cabaran.

“Jika cabaran itu mengundang permasalahan, kalau boleh biarlah ia diselesaikan dengan cara berhemah. Saya tidak akan membuat satu keputusan untuk mencabar mana-mana pihak, namun ia bergantung kepada isu. Saya lebih suka bermusyawarah, bermuafakat dan berbincang dulu.

“Kalau ada kata putus, maka kena hormat kata putus,” titah Seri Paduka Baginda.

Sehubungan itu, Yang di-Pertuan Agong berharap seluruh rakyat di negara ini hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

Bagi mencapai hasrat tersebut, Seri Paduka Baginda menasihatkan rakyat agar berhati-hati dan berhemah dalam menentukan hala tuju dan masa depan negara.

“Saya ingin melihat dan merasai agar seluruh rakyat kita dapat hidup dalam keadaan aman, stabil serta harmoni.

“Saya tidak berani janji tetapi itulah harapan saya. Adalah menjadi kesedihan jika sepanjang lima tahun ini negara kita jadi kucar-kacir, saya harap jauhlah kita daripada masalah ini. Saya harap rakyat berhati-hati dan biarlah berhemah dalam kita menentukan masa depan kita.

“Saya juga berharap kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dapat memperkukuhkan keadaan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan bertindak lebih proaktif dalam soal membantu rakyat yang memerlukan bantuan dan pertolongan dengan segera.

“Inilah harapan jangka pendek saya. Saya sangat realistik,” titah Seri Paduka Baginda.

Al-Sultan Abdullah menaiki takhta selepas Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Seri Paduka Baginda sebelum itu dimasyurkan sebagai Sultan Pahang keenam menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda iaitu Sultan Ahmad Shah Almarhum Sultan Abu Bakar yang gering pada ketika itu.

Bagaimanapun, Sultan Ahmad Shah yang mencatat sejarah sebagai Sultan Pahang pertama ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh pada 10 Julai 1980 mangkat di Institut Jantung Negara Kuala Lumpur pada 22 Mei lalu.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan ditabalkan secara rasmi pada 30 Julai ini.

Dalam wawancara itu, Seri Paduka Baginda berharap agar seluruh rakyat bekerja dengan kekuatan yang ada dan memperbaiki kelemahan.

“Kalau pihak Istana tidak betul, kita betulkan Istana. Kalau kerajaan tidak betul, kita betulkan kerajaan sikit.

“Memang kuasa di tangan rakyat tetapi tidak bolehlah (menggunakan kuasa itu) dengan cara yang akan merugikan semua bangsa.

“Ini harapan dan doa supaya kita tidak akan jadi begitu. Sepanjang tempoh memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong, saya harap kita dapat hidup dalam keadaan aman sejahtera dan dirahmati ALLAH,” titah Yang di-Pertuan Agong.

SINAR HARIAN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker