Zuraida: Perakuan sokongan pada Anwar mungkin dipaksa

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin mempertikaikan perakuan sokongan sokongan terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim yang dikeluarkan pemimpin cabang parti itu kebelakangan ini.

Menyifatkan ia sebagai “gerakan yang disusun”, Zuraida berkata pihak yang menandatangani perakuan sokongan itu tidak semestinya mendokong Anwar.

“Ingin saya ingatkan bahawa pihak yang menandatangani perakuan sokongan tersebut bukanlah sebenar-benarnya mendokong, tetapi mungkin didorong rasa terintimidasi dan dilakukan atas dasar terpaksa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menyifatkan ia sebagai “gerakan yang disusun”, Zuraida turut mempersoalkan tujuan tandatangan pemimpin Cabang PKR dikumpulkan dalam perakuan berkenaan.

Kata Zuraida, perakuan seumpamanya hanya mengesahkan ketidakstabilan kedudukan Anwar sebagai pemimpin nombor satu PKR.

“Soalnya untuk apa tandatangan ini dikumpul?

“Bukankah Presiden parti tidak dicabar dalam pemilihan lalu? Sebagai anggota parti, tentulah pemilihan parti yang lalu jelas keputusannya.Maka apa justifikasi yang memerlukan tandatangan menyokong presiden ini?

“Ia hanya menimbulkan persoalan yang mencerminkan ketidakstabilan kedudukan presiden,” katanya.

Terdahulu, PKR Pahang menjadi kumpulan terbaru dalam parti itu yang membuat perakuan sokongan terhadap kepimpinan Anwar.

PKR negeri yang turut membuat perakuan sokongan terhadap Anwar sebelum ini ialah Pulau Pinang, Perak dan Johor.

Ikrar sokongan yang ditandatangani empat PKR negeri itu mempunyai kandungan sama yang ditandatangani 22 pemimpin PKR ketika pemukiman parti itu di Port Dickson hujung minggu lalu.

Perakuan sokongan itu dilihat dimulakan oleh penyokong Azmin pada 18 Julai lalu melalui kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh sekumpulan ahli parlimen PKR dan ahli majlis pimpinan pusat (MPP).

Gesa Anwar keluar arahan henti

Sementara itu, dalam kenyataannya hari ini, Zuraida menggesa Anwar sebagai presiden parti mengeluarkan arahan untuk menghentikan perakuan sokongan seumpamanya.

“Cukuplah menghidangkan juadah politik partisan yang sudah muak dan mual dihadam oleh rakyat. Kita semua perlu menumpukan masa untuk menjalankan tugasan masing-masing.

“Janganlah lagi proses membina Malaysia baru ini diganggu dengan aksi politik sebegini yang dilihat sekadar mahu dilihat relevan dan sentiasa menghiasi dada akhbar,” katanya.

Menyorot sumbangan Azmin ketika awal penubuhan PKR, Zuraida turut menafikan khabar angin yang mengatakan timbalan presiden PKR itu akan meninggalkan parti.

Konflik dalaman PKR berlaku susulan kenyataan Anwar agar Azmin meletakkan jawatan sekiranya klip video seks yang dikaitkan dengan menteri hal ehwal ekonomi itu tulen.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador sebelum ini mengesahkan ketulenan klip video seks itu, namun menambah bahawa hasil pengecaman wajah tidak dapat dikaitkan dengan Azmin.

Ketua polis negara juga mendedahkan bahawa pihak yang terlibat dalam penghasilan dan pengedaran klip video itu didalangi pemimpin parti politik dan melibatkan belanja ratusan ribu.

Azmin menafikan dakwaan melakukan aksi seks sejenis dalam klip video itu, seperti didakwa bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Azmin turut menyifatkan ia merupakan usaha pihak dalam partinya untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Setiausaha politik Anwar merupakan antara individu yang ditahan pihak polis dalam siasatan klip video seks itu. Anwar bagaimanapun menafikan sebarang penglibatan dalam kontroversi berkenaan.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker