Azmin bakal keluar dari PKR dan mengapa memilih parti Gerakan?

Pujangga berbicara “Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang”. Ada juga lirik lagu popular “tanya sama pokok, apa sebab goyang, nanti jawab, angin yang goyang”. Namun kini masyarakat lebih percaya kepada ungkapan “tiada anginpun pokok boleh bergoyang asal ada beruk-beruk yang bergayut”. Maka itu, khabar Azmin Ali mahu keluar PKR dan memilih parti Gerakan sebagai wadah baharu, menyamai ungkapan-ungkapan di atas!

Semua sedia maklum keadaan terkini Azmin di dalam PKR. Jika mengikut perkiraan politik, amat wajar sekali Azmin segera meninggalkan PKR. Dengan krisis dalaman yang memuncak, kedudukan Azmin dalam PKR bagai telur di hujung tanduk. Anwar selaku Presiden yang berlagak baik, tentunya tidak akan memecat Azmin. Namun mengenali Anwar, beliau akan menggunakan orang lain dalam PKR untuk menyerang Azmin. Serangan dalaman besar-besaran tidak dapat dielakkan terhadap Azmin.

Kekal di dalam PKR bermakna Azmin akan tetap menjadi orang nombor dua dalam PKR bagi tempoh terdekat. Mahu bangkit menentang Anwar di dalam PKR, kekuatan Azmin masih belum utuh. Risiko kalah bakal menyebabkan imej Azmin merudum dan kecewa, walaupun mendapat pembelaan dari Tun Mahathir. Mahu kekal sebagai orang nombor dua parti, bakal menimbulkan kejanggalan mahu menjadi Perdana Menteri. Perdana Menteri secara tradisinya adalah seorang Presiden parti.

Demikianlah dilema yang dihadapi Azmin. Pilihan terbaik Azmin adalah keluar dari PKR dan menyertai sebuah parti lemah yang boleh dikawal. Penubuhan parti baru untuk Azmin bukan pilihan terbaik masa kini kerana banyak yang perlu dibangunkan. Menyertai PPBM juga bukan idea yang baik kerana dalam PPBM sendiri sudah wujud kelompok ‘warlords’ dan PPBM bakal berpecah dengan kemasukan Azmin. Amanah dan DAP juga tentunya tidak mahukan Azmin kerana bimbang terpalit dengan kontroversi yang melanda Azmin.

Barang kali setelah mendapat nasihat dan panduan ‘godfather’ beliau, parti Gerakan adalah percaturan terbaik Tun Mahathir dan Azmin. Gerakan yang seperti melukut di tepi gantang, kelihatan akan mendapat nafas baru dalam politik Malaysia jika benar Azmin bakal menyertai parti itu. Gerakan dipancing sebagai strategi serampang dua mata Tun Mahathir.

Pertamanya adalah untuk membolehkan Gerakan menyertai komponen Pakatan Harapan apabila Azmin dan rakan-rakannya menyertai parti tersebut. Sekurang-kurangnya ahli dan aset parti Gerakan boleh ‘ditelan’ bersama penyertaan parti tersebut ke dalam PH. Menara PGRM di Cheras bakal menjadi sebahagian dari koleksi harta PH. Sekali gus bilangan komponen PH akan bertambah.

Kedua, Gerakan akan menjadi pengimbang kepada kekuatan DAP di dalam PH. Gerakan boleh menjadi pengimbang kekuatan ‘clCina’ di dalam PH yang selama ini dikawal oleh DAP. Sepertimana parti berasaskan Melayu berpecah, parti berasaskan Cina juga bakal dipecahkan oleh Tun Mahathir demi kepentingan peribadi.

Walaupun kekuatan Gerakan diragui, tentunya Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng tidak selesa jika Tun Mahathir membawa Azmin dan Datuk Dr. Dominic Lau ke mesyuarat Majlis Presiden PH nanti jika benar perkara ini terjadi. Gerakan tentunya akan berkembang menjadi lebih kuat sebelum PRU-15 dengan bimbingan Tun Mahathir dan Azmin. Inilah antara sebab mengapa GERAKAN yang sekarang ini dilihat lemah menjadi pilihan Tun Mahathir dan Azmin.

Jika ini berlaku, tentunya Tun Mahathir dan Azmin semakin mengukuhkan kedudukan mereka dalam PH dan Anwar akan kekal menjadi bakal Perdana Menteri yang semakin malap harapannya kerana Azmin bila-bila masa akan dikompromi untuk menjadi Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). Manakala DAP pula akan semakin lemah cengkamannya ke atas PH dan Tun Mahathir.

Kerana itu pemilihan Gerakan dalam isu ini bukanlah pemilihan biasa-biasa. Pemilihan Gerakan adalah pemilihan yang penuh muslihat, strategi dan survival politik yang dicatur oleh Tun Mahathir demi kelangsungan kuasa dan kepentingan peribadi. Presiden Gerakan juga telah mengaku mendapat ‘signal’ terdapat pertemuan wakil Azmin dengan tokoh dari Gerakan. Jika rundingan berhasil, nampaknya Azmin bakal meninggalkan PKR dalam masa terdekat.

Drama semakin menarik. Adakah situasi PKR bakal menjadi, “menang jadi abu, kalah jadi arang”?

Sama-sama kita tunggu langkah seterusnya dari dua orang bakal PM dari satu parti yang sama….

Dipetik dari blog ‘Anuar Shaari Menulis’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker