Naib Pengerusi PKR Masjid Tanah antara 21 umum keluar parti

Share


MELAKA 25 Julai – Naib Pengerusi PKR Cabang Masjid Tanah, Khairuddin Ibrahim bersama 20 ahli hari ini mengumumkan keluar daripada parti ekoran tidak berpuas hati dengan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPN) PKR negeri.

Meskipun telah memegang jawatan itu selama tiga penggal, Khairuddin dan 20 ahli itu tetap tidak berpuas hati serta mendakwa Pengerusi PKR negeri, Halim Bachik kerana mengamalkan kepimpinan ala Barisan Nasional (BN).

“Kami tidak berpuas hati kerana PKR Melaka di bawah pentadbiran Halim hanya memberi tumpuan kepada ahli-ahli yang disenanginya saja malah turut mengamalkan sikap pilih kasih.

“PKR Masjid Tanah kini kami lihat semakin rosak apabila golongan ‘salin kulit’ mengambil alih kepimpinan dengan bantuan beliau,” dakwanya ketika dihubungi malam ini.

Halim merupakan Ketua PKR Cabang Masjid Tanah yang dipilih sebagai pengerusi negeri selepas pemilihan parti pada tahun lalu.

Menurut Khairuddin, beliau dan 20 ahli parti itu pernah menghantar surat menyatakan hasrat untuk keluar parti kepada Halim pada Mei lalu namun mendakwa surat itu telah ‘dibakul sampahkan’.

“Selepas tidak mendapat maklum balas, kami akhirnya menghantar satu lagi surat yang sama isinya pada Selasa lalu.

“Sebenarnya ramai lagi yang akan mengikuti jejak langkah kami dan saya bercadang untuk mengumumkannya secara rasmi dalam tempoh terdekat,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *