Syed Saddiq sering cetus masalah dengan Istana Johor – Ketua Armada Labis

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor, Norul Haszarul Abu Samah mendakwa Ketua Armada Nasional, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sering bersikap mencetuskan masalah dengan Istana Johor.

Norul Haszarul yang juga merupakan Ketua Armada Labis berkata, Armada Bersatu juga dilihat tidak lagi menumpukan kepada agenda rakyat sebaliknya hnaya termotivasi untuk mewujudkan perbalahan dengan beberapa pihak terutama pihak Istana Johor.

“Saya tidak sanggup lagi untuk terus berdiam diri ketika halatuju Armada Bersatu tidak lagi menumpukan kepada agenda rakyat dan memenuhi janji manifesto pilihanraya, sebaliknya sentiasa termotivasi untuk mewujudkan perbalahan dengan beberapa pihak terutama pihak Istana Johor.

“Sebagai orang Melayu dan anak jati Johor, saya juga tidak sanggup lagi berbalah dengan pihak Istana Johor lantaran sikap Ketua Armada Nasional yang sering mencetuskan masalah dengan Istana Johor,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

Sementara itu, Norul Haszarul turut memberitahu beliau menerima surat pergantungan jawatan selaku Ketua Armada Johor dan Ketua Armada Labis berikutan kenyataannya pada 12 Julai lalu yang menyokong keputusan kerajaan negeri Johor berhubung had usia belia.

“Parti yang saya sertai sejak awal penubuhan kini seolah-olah menutup pintu kepada perbezaan pendapat serta tidak lagi terbuka dan peka terhadap pandangan rakyat.

“Walau bagaimanapun, saya menerima keputusan pucuk pimpinan Armada yang diterajui Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan hati yang tenteram dan terbuka,” katanya.

Norul Haszarul dalam pada itu, turut memuat naik surat pergantungan jawatannya itu yang ditandatangani oleh Penolong Setiausaha Armada Nasional, Ahmad Reduzan Mohamad Shafi.

Menerusi surat tersebut, memberitahu jawatan Norul Haszarul telah digantung untuk satu tempoh tertentu sehingga diberitahu semula.

Sepanjang tempoh pergantungan tersebut, tugas-tugas Ketua Armada Johor akan dipangku oleh Shaiful Rizal Mohd. Salleh manakala tugas Ketua Armada Labis dipangku oleh Mohd. Akmal Ramly.

Norul Haszarul sementara itu, menjelaskan akan membuat kenyataan penuh berkenaan perkara tersebut dalam masa terdekat.

“Terima kasih atas sokongan dan dorongan semua pihak ketika saya bergelut mempertahankan prinsip diri, sambil mengimbangkan kepentingan perjuangan anak bangsa dan kedaulatan negeri Johor yang saya kasihi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker