Tabung Dana UMNO akan dilancarkan.

UMNO akan melancarkan tabung mengumpul dana dalam masa terdekat sebagai persiapan parti terbesar Melayu itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tujuan tabung tersebut diwujudkan bagi membiayai aktiviti parti yang ketika ini menghadapi kekangan kewangan akibat penyitaan serta tindakan perundangan.

“Tabung ini bagi memastikan kelangsungan aktiviti politik parti dapat diteruskan. Kita yakin ramai yang bersimpati dengan nasib UMNO yang menghadapai tuduhan di luar norma perundangan.

“Ahli Majlis Tertinggi juga telah memutuskan yang UMNO dengan kerjasama badan profesional akan menguruskan tabung ini. Kita tidak meletakkan sasaran khusus terhadap jumlah kutipan tetapi berharap sumbangan sebanyak mungkin daripada orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Antara pemimpin parti menghadiri mesyuarat hari ini termasuklah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, semua Naib-naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa serta ketua-ketua sayap dan ahli-ahli Majlis Tertinggi. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker