Pengajaran Daripada SEJARAH

PERKEMBANGAN politik negara mutakhir ini amat mengujakan. Manakan tidak, plot dan anekdot yang melanda parti pemerintah dalam politik negara hari kini hampir merupakan satu ulangan kepada episod sejarah politik Malaysia 21 tahun yang lalu.

Benarlah kata sejarawan Ibn Miskawayh dalam karyanya Tajarib al-Umam bahawa sejarah adalah suatu ‘pengalaman yang sentiasa berlaku dan berulang’.

Dalam konteks ini, penulis berpandangan bahawa episod tahun 1998 dahulu kini telah kembali berulang dalam bentuk, masa dan platform parti yang berbeza. Ironinya kebanyakan aktor sejarah 1998 masih ada dalam episod hari ini tetapi berfungsi dengan peranan yang lebih berbeza.

Amat menarik juga kerana kebanyakan aktor-aktor sejarah 1998 masih berada di situ cuma ditambah dengan beberapa aktor baharu dalam kalangan generasi muda. Apa yang cuba dibuktikan oleh sejarah sebenarnya dalam plot dan anekdot 2019 ini berbanding 1998 dahulu? Hanya masa yang akan menentukannya.

Tetapi yang lebih penting, rakyat sebagai audiens dan pemerhati perlu bijak untuk memahami dan mengambil pengajaran daripada sejarah 1998 dan membandingkannya dengan perkembangan 2019.

Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu secara falsafahnya mengungkapkan bahawa makna sejarah itu adalah satu peringatan atau tazkirah agar kita mengambil pengajaran daripada segala apa yang berlaku dan tidak mengulanginya lagi pada masa hadapan.

Namun apabila sesuatu peristiwa sejarah itu berulang lagi, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan plot dan anekdot yang berlaku, apatah lagi jika aktor-aktor sejarahnya masih lagi merupakan orang yang sama dan pernah terlibat dalam peristiwa yang terdahulu.

Cuma pengolahan jalan cerita dan plot 2019 adalah lebih tersusun dan kreatif berbanding 1998. Barangkali ‘pementasan’ dan ‘orkestra’ hari ini telah mengambil pengajaran daripada kelemahan skrip 1998. Maka persembahan 2019 sedikit berbeza, unik dan memanfaatkan kemudahan teknologi dan digital semasa.

Bagi blok barisan pembangkang Malaysia, 2019 adalah tahun untuk memahami dan mengambil pengajaran daripada sejarah kerana selepas 41 tahun, agenda penyatuan ummah antara UMNO dan Pas kembali menjelma.

Kedua-dua parti itu perlu mengambil kesempatan untuk bermuhasabah tentang kegagalan yang dialami dalam penyatuan ummah kali pertama dahulu. Kedua-dua parti juga pada kali ini perlu memiliki strategi bersama yang jelas dan padu.

Tiga aspek yang perlu menjadi pedoman dalam penyatuan 2.0 ini iaitu apakah konsep kerjasama yang mahu diperkasakan? Apakah isu kepentingan bersama yang mahu diselesaikan oleh kedua-dua parti? Dan apakah bentuk politik persefahaman yang mahu dijalinkan kedua-dua pihak?

Kesemua persoalan itu sangat penting bagi UMNO-Pas dalam usaha merangka garis-garis besar kepada muafakat yang lebih bermakna menjelang PRU-15 kelak. UMNO dan Pas tidak boleh lagi mengulangi kegagalan penyatuan ummah 1.0 dahulu. Segala kelemahan masa lalu yang berada dalam lipatan sejarah perlu dikaji, dinilai dan diselesaikan secara prinsipnya bagi mencapai matlamat yang lebih besar.

Sejarah bukan sekadar satu episod daripada himpunan peristiwa masa lalu. Tetapi sejarah adalah panduan bagi menghadapi masa akan datang dengan lebih bermakna untuk Malaysia. Penulis mengamati bahawa mengulangi sejarah penyatuan ummah antara UMNO dan Pas sejak 41 tahun yang lalu adalah amat positif untuk agama, bangsa dan negara kerana manfaatnya adalah terlalu banyak.

Tinggal lagi penyatuan ummah kali ini perlu ditangani dengan bijak supaya agenda ini kekal selama-selamanya. Namun, mengulangi episod sedih dan negatif sejarah politik 1998 pada tahun 2019 ini adalah satu langkah terkebelakang.

Tetapi mungkin ada hikmah yang mahu disampaikan oleh sejarah ini kepada rakyat dan negara, suatu hikmah yang selama ini tidak terzahir dan membebankan kita semua.

Cuma pengolahan jalan cerita dan plot 2019 adalah lebih tersusun dan kreatif berbanding 1998.”

DR ASYRAF WAJDI DUSUKI

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker