Polis bingung kenapa bukan Azmin yang ditahan, dedah Setpol Anwar

Share


Setiausaha politik kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim mendedahkan polis bingung kenapa dia yang ditahan dalam siasatan terhadap video seks sejenis melibatkan individu yang dikatakan mirip seorang menteri.

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata para penyiasat tertanya-tanya kenapa menteri yang dikatakan mirip individu dalam video seks sejenis itu tidak ditahan untuk membantu siasatan.

Beliau yang dibebaskan hari ini sejak ditahan pada 16 Julai lalu juga mempersoalkan keperluan menahannya kerana dia sedia memberikan keterangan atas permintaan polis.

“Pertama sekali, tiada laporan polis dibuat terhadap saya, lagipun wajah saya tak mirip Azmin Ali,” katanya merujuk kepada menteri hal ehwal ekonomi yang cuba dikaitkan dengan video tersebut.

Ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini, ketua PKR Perak itu merasakan dirinya dilayan seakan seorang “pembunuh”.

“Mereka cuba mengenakan hukuman paling keras, adakah ini perlu?” katanya.

Beliau mendakwa polis cuba melanjutkan reman ke atasnya untuk 7 hari lagi, tetapi peguamnya berjaya menidakkan cubaan itu.

“Kali kedua mereka cuba reman saya, polis sendiri pun keliru. Sepanjang saya ditahan, polis bingung dan tertanya, kenapa Azmin Ali tidak ditahan dan kenapa saya ditahan?”

Perkembangan itu mendorong Farhash untuk percaya ada suatu konspirasi dalam peristiwa ini.

“Ada konspirasi terhadap Anwar,” katanya, merujuk kepada majikannya, yang menjadi sasaran kritikan beberapa pemimpin PKR sendiri sejak kemunculan video seks sejenis itu bulan lepas.

Farhash seterusnya menyeru polis menahan Azmin bagi mengesahkan kredibiliti siasatan itu.

“Jika ketidakadilan menjadi undang-undang, maka reformasi jadi tanggungjawab,” katanya.

Farhash dibebaskan dari tahanan polis hari ini selepas 7 hari ditahan dalam siasatan yang mendedahkan kewujudan “pakatan jahat yang didalangi seorang pemimpin parti politik”, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

Hamid pada 18 Julai lepas mengumumkan hasil analisis CyberSecurity Malaysia mengesahkan kebarangkalian video tersebut tulen adalah tinggi, tetapi hasil proses pengecaman wajah adalah negatif dan “tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan individu yang dimaksudkan”.

Farhash melangkah keluar dari Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini dengan disambut laungan “Bebas Farhash” dari kira-kira 50 orang penyokong yang berhimpun sejak tengah hari tadi.

Beliau dibebaskan bersama-sama bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz, lelaki di sebalik dakwaan video seks sejenis terhadap Azmin.

Peguam Haziq, Kenzin Goik berkata anak guamnya dalam keadaan baik sepanjang penahanannya dan polis menunjukkan sikap profesional.

“Siasatan hampir selesai. Tidak mungkin dia akan ditangkap lagi. Sekarang kita tengok sama ada kena dakwa atau tidak,” katanya.

FMT



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *