Bursa Malaysia ditutup rendah

PASARAN SAHAM JATUH
KUALA LUMPUR 22 Julai – Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan jualan sederhana dalam saham wajaran tinggi terpilih iaitu kaunter produk dan perkhidmatan perindustrian, perkhidmatan kewangan dan perladangan.

Pada pukul 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.17 peratus atau 2.79 mata kepada 1,655.40 berbanding 1,658.19 yang dicatatkan pada Jumaat minggu lepas.

Petronas Chemicals meneruskan aliran menurunnya susulan penurunan gred pada minggu lepas, turun 11 sen kepada RM7.70 manakala Hong Leong Bank susut 26 sen kepada RM18.34 dan KLK berkurangan 20 sen kepada RM23.70.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 0.09 mata lebih tinggi kepada 1,658.28, paras tertinggi hariannya, dan susut ke paras terendah hariannya pada 1,647.70 dalam sesi tengah hari tetapi kemudiannya pulih sedikit daripada paras terendahnya sebelum ditutup.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 508 berbanding 297 manakala 428 kaunter tidak berubah, 656 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 2.65 bilion unit bernilai RM1.54 bilion daripada 3.32 bilion unit bernilai RM2.09 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Seorang peniaga berkata, bursa tempatan bersama bursa serantau lain ditutup kebanyakannya rendah sejajar dengan prestasi lemah di Wall Street pada Jumaat lepas.

“Terdapat kebimbangan yang memuncak dalam kalangan pelabur menjelang mesyuarat dua hari Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat (AS). Para pelabur akan terus memantau dengan rapat apa yang akan berlaku kepada kadar faedah AS.

“Dan sehingga itu, kami menjangkakan dagangan yang berhati-hati dalam pasaran,” katanya sambil menambah persekitaran pasaran pendasar yang berhati-hati juga akan dipengaruhi oleh kebimbangan geopolitik baharu di Asia Barat.

Di peringkat serantau, Hang Seng Hong Kong turun 394.14 mata atau 1.37 peratus kepada 28,371.26, Nikkei Jepun susut 50.20 mata atau 0.23 peratus kepada 21,416.79, manakala Indeks Straits Times Singapura jatuh 20.74 mata atau 0.61 peratus kepada 3,357.22. – BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker