Saya tahu siapa dalangnya – Azmin

Share


SHAH ALAM 21 Julai – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu beliau tahu siapakah dalang utama di sebalik penyebaran video seks sejenis yang dikaitkan dengan dirinya.

Malah, di hadapan kira-kira 3,000 penyokongnya bertempat di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu secara bersahaja bertanya apakah mereka juga mahu tahu siapakah berkenaan.

Pertanyaan Mohamed Azmin itu terus disambut penyokongnya dengan laungan ‘hantar dan sumbat balik dia ke penjara’ walaupun mereka tidak menyebut nama siapakah yang dimaksudkan.

“Saya tahu siapa dalang, saya amat tahu. Saudara-saudari hendak tahu siapa dia (Mohamed Azmin berhenti sejenak). Kita serahkan pada pihak berkuasalah,” katanya ketika berucap pada majlis doa selamat dan kesyukuran di sini malam ini.

Majlis tersebut yang dilihat sebagai medan untuk Mohamed Azmin menunjukkan kekuatannya turut dihadiri antaranya Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaafar dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa.

Selain itu, turut kelihatan juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon serta beberapa pemimpin kanan PKR lain seperti Tian Chua, Dr. Mansor Othman, Maria Chin Abdullah, Dr. Afif Bahardin, Amirudin Shari dan Mohd. Khairuddin Othman.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin semasa berucap juga dilihat beberapa kali menyindir seseorang apabila memberitahu ramai bekas orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim datang menyokongnya malam ini.

“Di sini malam ini ada bekas Setiausaha Sulit Anwar, ada bekas Setiausaha Politik Anwar dan ada dua bekas Setiausaha Akhbar Anwar.

“Mereka ini orang-orang lama tetapi datang ke sini malam ini kerana mereka kenal siapa Azmin Ali, mereka tahu saya tidak pernah mengkhianati kawan,” katanya dalam nada yang keras.



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *