Penyatuan UMNO, Pas sudah sampai ke peringkat akar umbi

Share


BACHOK – Ahli UMNO dan Pas di peringkat akar umbi sudah menerima dan merestui gabungan kerjasama kedua-dua parti ini walaupun piagam perjanjian kerjasama belum dimeterai.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program bersama Pas dan UMNO diadakan di seluruh negara ketika ini yang menunjukkan hubungan kedua-dua parti semakin erat.

Katanya, perkembangan itu memberi gambaran rakyat mahu melihat perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Hanya beberapa kerat sahaja ahli UMNO melompat ke parti dalam Pakatan Harapan (PH), rakyat mahu melihat perkembangan dan akhir-akhir ini mereka melihat banyak kepincangan dalam kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bachok di Dewan Majlis Daerah Bachok di sini petang semalam.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Bachok, Mohd Zain Yasim dan Yang Dipertua Pas Bachok, Datuk Hassan Mahmood.

Mahdzir berkata, perpaduan ummah selepas piagam perjanjian dinanti-nantikan rakyat yang kecewa dengan PH.

“Penyatuan ini digeruni parti lawan kerana ia tercetus dari kesedaran pimpinan dan ahli kedua-dua parti.

“Kita akan memberi penerangan kepada parti bukan Melayu gabungan BN untuk menyokong kerjasama ini yang antara lain bertujuan untuk mengembalikan kesejahteraan rakyat,” katanya.

SINAR HARIAN



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *