Pelihara ‘pokok’ ta’awun dengan sebaik-baiknya

Share


GURUN 21 Julai – UMNO dan Pas akan bersama membina kekuatan bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) dapat ditumbangkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sehubungan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengingatkan agar ‘pokok’ ta’awun yang disemai antara kedua-dua parti itu dipelihara dengan sebaik-baiknya

Katanya, kerjasama UMNO dan Pas telah merunsingkan PH yang dijangka melakukan apa sahaja untuk memecahbelahkan hubungan antara dua parti terbesar orang Melayu itu.

“Mereka (PH) risau taawun yang ada ini. Jadi kita kena jaga ‘pokok’ taawun ini dengan baik. Selebihnya soal calon, hala tuju dan sebagainya serahkan kepada kepimpinan dua parti ini.

“Apa yang penting kita bersama bina kekuatan ini agar PRU-15 menjadi hak kita,” katanya ketika berucap pada program perpaduan ummah di Command Centre, Jerai di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan; Pesuruhjaya Pas negeri, Ahmad Yahaya; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Md. Alwi Che Ahmad dan Yang Dipertua Pas kawasan Jerai, Musoddak Ahmad.

Sementara itu, Jamil Khir berkata, rakyat semakin hari semakin resah dengan pemerintahan PH yang dilihat gagal termasuk dalam menjaga kepentingan Islam.

“Kebanyakan orang asyik bertanya bila hendak diadakan pilihan raya kerana mereka sudah tidak sabar ingin melakukan perubahan,” katanya.- UTUSAN ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *