Pekerja Top Glove berada di tahap akhir ketika dirawat di hospital

Pengawal keselamatan kilang Top Glove yang meninggal dunia akibat Covid-19 berada di tahap akhir jangkitan ketika dimasukkan ke hospital, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

“Ketika dia dirawat di hospital, dia sudah berada di tahap akhir (Covid-19), iaitu tahap 4 dan 5, dan dia ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Kita telah memberinya rawatan terbaik, tapi sayangnya dia meninggal akibat komplikasi paru-paru akibat jangkitan Covid-19,” kata Noor Hisham dalam sidang akhbarnya di Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini, yang juga disiarkan secara langsung.

Awal hari ini, pengeluar sarung tangan Top Glove mengesahkan kematian Yamnarayan Chaudhary Tharu, yang meninggal dunia pada Sabtu lalu (12 Dis).

Warga Nepal berusia 29 tahun itu bekerja di kilang Top Glove di Meru, Klang selama lebih dua tahun.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan melaporkan kematian seorang lelaki bukan warganegara Malaysia di Hospital Sungai Buloh akibat Covid-19.

Pesakit itu tidak disebutkan sebagai mempunyai keadaan sejarah penyakit kronik. Dia merupakan kematian ke-415 dan merupakan pesakit kes 55,965.

KKM kebiasaanya tidak mendedahkan maklumat peribadi pesakit Covid-19.

Kluster Teratai, yang kebanyakannya terdiri daripada pekerja Top Glove, merekodkan 5,301 kes pada masa ini dan ia adalah kluster terbesar di negara ini.

Syarikat itu juga pernah dibidas kerana tidak mematuhi standard penginapan minimum untuk pekerja asing.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker