Bila hati sudah retak akibat salah memilih.

Share


Bila hati sudah retak

ISTILAH taksub dan fanatik dalam politik Malaysia semakin berubah.

Apa yang kelihatan kini, berpolitik lebih bermotif melangsai sentimen peribadi dan menyorot agenda perjuangan kaum-kaum tertentu. Bagaimanapun, rakyat pada umumnya semakin sedar dengan situasi ini. Mereka sedar, dalam suasana semasa, ada banyak perkara yang mereka harapkan terhadap pihak yang pernah memberi ‘harapan’ pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu sudah melencong jauh.

UMNO dan Pas pantas mengetengahkan manifestasi kesedaran itu kepada umum. Dan semakin ramai pula yang bangkit meluahkan kesedaran serupa. Bersama mereka ada perasaan kesal, kecewa dan marah, mungkin kerana rasa tertipu dan terpedaya.

Lalu, tidak hairanlah jika kerjasama UMNO-Pas menjadi pertaruhan penting khususnya bagi umat Islam dan orang Melayu untuk mengembalikan keyakinan bahawa kesucian Islam dan kedaulatan bangsa kekal teguh tanpa terbuka ruang kepada mana-mana pihak merobek dan mencerobohi-nya.

Kata rakyat, mereka tertipu dengan janji-janji yang tidak ditunaikan. Tiada banyak perubahan dalam perancangan kerajaan untuk memajukan negara dan menjamin kesejahteraan rakyat. Apa yang dilihat hanya berpolemik dengan hal-hal politik yang tiada penghujung.

Juga kata rakyat, fokus yang sepatutnya menstabilkan politik bagi melicinkan perjalanan tadbir urus negara, masih ‘terbelit’ dengan hal-hal remeh,seperti isu peribadi pemimpin-pemimpin tertentu yang dikaitkan dengan ‘terlondehnya’ nilai moral, akhlak dan integriti.

Isu penggantian jawatan Perdana Menteri sampai masa lantik sahajalah! Buat apa bising-bising? Kerap pula timbul keadaan di mana seseorang menteri Kabinet terpaksa menjelaskan semula sebarang kenyataan ekoran mendapat reaksi negatif daripada rakyat.

Rakyat mahu kehidupan mereka tidak terus tertekan dengan soal-soal yang membebankan. Termasuk aspek kos sara hidup, punca pendapatan, kuasa beli dan keperluan dalam kehidupan harian. Meliputi kemudahan tempat tinggal, sistem pengangkutan awam dan keselamatan.

“Pengangguran itu suatu fenomena biasa?” Belum tentu rakyat boleh terima. Bayangkan pula apa perasaan puluhan ribu kakitangan awam bertaraf kontrak sudah ditamatkan perkhidmatan.

Sementara bagi umat Islam dan orang Melayu, mereka tidak pernah membayangkan kesediaan atau kesanggupan berkompromi sehingga ke peringkat terhakis atau terombak segala hak dan keistimewaan yang sedia dimiliki. Mereka tidak merelakan slogan ‘kesamarataan mutlak untuk semua’ menjadi kenyataan. Tidak mungkin! Memadailah dengan apa yang sudah tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan atas nama hak dan kedudukan sebenar.

Kata orang Melayu, mana-mana entiti atau institusi yang lahir atas ‘roh’ kepentingan Melayu tidak perlu ‘pandai-pandai’ distrukturkan semula, apa lagi mahu dijual kepada pihak asing. Dalam konteks berkaitan, orang Melayu menanyakan, sejauh mana kalangan pemimpin Melayu dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) boleh disandar harapan?

Apa hak rakyat kemukakan atau suarakan segala tuntutan ini? Jawapannya ialah mereka sebenarnya telah membuat pilihan, baik memilih tokoh mahupun parti politik pada PRU-14 lalu untuk menerajui negara. Mereka terpesona dengan janji. Dan mereka terpengaruh dengan segala tuduhan. Menerusi sistem demokrasi berparlimen, mereka telah membuat pilihan.

Dan rakyat pun bertanya: “Bagaimana kami boleh meyakinkan diri kami bahawa kami tidak membuat pilihan yang kurang tepat pada PRU-14 lalu?”

Pesanan dalam bidalan Melayu, beringat-ingatlah sebelum kena, berjimat-jimatlah sebelum habis!

DATUK SAYUTI MUKHTAR
Penganalisis sosiopolitik tanah air.
Utusan



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *