PKR Retak Menanti BELAH!

Share


KUALA LUMPUR – Perseteruan antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bukan lagi kemelut baharu dalam kalangan pemerhati politik dan orang media.

Paling ketara kem PKR mula terbahagi kepada dua apabila Azmin pada Pemilihan PKR tahun lalu mendapat saingan sengit Rafizi Ramli yang dipercayai orang kepercayaan Anwar selepas Azmin disebut-sebut pemimpin harapan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bagi menggantikan beliau.

Namun, awal Jun lalu, pertelagahan dua kem Anwar dan Azmin membuka kepada satu ‘perang’ yang semakin terbuka diiringi kritikan pedas dan kata-kata sindiran. Ia semuanya gara-gara penularan beberapa klip video seks luar tabii antara dua lelaki yang dikatakan dirakam pada 11 Mei lalu di bilik Hotel Four Point di Sandakan, Sabah.

Lebih memeranjatkan sehari selepas tular video itu pada 11 Jun lalu, bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz membuat pengakuan terbuka beliau merupakan individu di dalam video terbabit.

Tamparan paling hebat tentunya apabila Haziq kemudian menamakan seorang menteri kanan sebagai pasangannya dalam video menjijikkan itu.

Bibit-bibit perbalahan kem Azmin dan Anwar mula retak menerusi komen-komen mengulas isu video itu.

Di saat, Anwar bersama Biro Politik PKR mengambil masa lebih tiga minggu untuk memecat keahlian Haziq dalam PKR, penyokong-penyokong kem Azmin yang resah menempelak kelewatan tindakan tegas parti.

β€œNasib baik bukan saya jadi Presiden, kalau saya Presiden saya dah pecat dah (Haziq),” sindir Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin yang jelas ditujukan kepada Anwar.

Biro Politik PKR akhirnya kemudian mengambil keputusan untuk memecat Haziq daripada parti dengan serta merta pada 3 Julai.

Episod baharu video tersebut menambah lagi kehangatan yang melanda PKR apabila salah seorang daripada lima individu yang ditahan dalam serbuan besar-besaran di sekitar Lembah Klang pada Isnin lalu turut melibatkan pemimpin parti itu sendiri.

Antara yang ditahan ialah Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Farhash Wafa Salvador.

Kemuncak perseteruan dua pemimpin parti itu apabila Anwar secara terbuka mendesak supaya Timbalan Presiden PKR iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin meletakkan jawatan sekiranya video itu terbukti sahih.

Ia dibalas dengan jawapan penuh sinis Azmin, yang menyuruh Anwar melihat wajahnya dicermin.
Dalam pada itu, penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, pergeseran antara Anwar dan Azmin memberikan impaknya besar kerana mereka adalah pemimpin utama dalam parti.

“Saya percaya jika tidak dihentikan segera, perkara ini akan merebak dan perpecahan dalam kalangan penyokong PKR.

“Begitu juga dalam PH kerana PKR ada kerusi banyak dalam Kerajaan PH dan sekiranya keadaan semakin meruncing sehingga tidak dapat dibendung lagi maka tidak mustahil ada pihak akan membuat keputusan yang boleh mengorbankan parti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Bagi Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim, beliau menjangkakan PKR akan berpecah dua berikutan krisis dalaman membabitkan dua pemimpin utama parti itu dilihat semakin parah.

“Saya menjangkakan PKR akan berpecah, sama seperti Pas yang berpecah melahirkan Amanah dan UMNO berpecah melahirkan Bersatu.

“Cuma yang belum ada petanda sama ada perpecahan itu akan melahirkan parti baharu atau kumpulan yang terpinggir akan menyertai parti sedia ada sama ada di blok kerajaan atau pembangkang,” katanya.
Menurut Mohd Yusri yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pendidikan Asas dan Liberal (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), krisis PKR bukan sahaja memberi kesan kepada Pakatan Harapan (PH), bahkan boleh merubah lanskap politik negara.

“PKR adalah parti tonggak dalam Pakatan Harapan (PH), krisis dalaman PKR pasti akan memberi kesan besar kepada PH,” katanya.

Untuk rekod, Azmin mula terlibat dalam politik pada sekitar tahun 1987 apabila Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta beliau bekerja dengan Anwar.

Mahathir mengenali Azmin semasa beliau masih menuntut di Amerika Syarikat dan menjadi pemimpin pelajar di sana.

Hubungan baik kedua-duanya bagaimana pun tidak berkekalan apabila Anwar dipecat daripada kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada September 1998.

Azmin menyifatkan insiden pemecatan tersebut adalah yang paling sukar dalam hidupnya apabila terpaksa memilih antara Mahathir ataupun Anwar.

Bagaimanapun, Azmin memilih untuk bersama Anwar dan beliau antara ahli yang awal menganggotai Parti Keadilan Nasional yang kemudiannya dikenali dengan PKR.

Pada 23 September 2014, beliau telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.

Selepas PH berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Harapan mengumumkan barisan Kabinetnya yang turut menamakan Azmin Ali sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

SINAR HARIAN



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *