Selepas sah tulen, persoalan kini siapa pelaku?

DALAM sejarah dunia, ada beberapa peristiwa penting dinamakan sempena nama hotel dan antara yang diingati tentunya Plaza Accord, perjanjian di Plaza Hotel, New York pada 1985 melibatkan manipulasi lima negara maju untuk kepentingan ekonomi mereka.

Kesan perancangan licik lima negara itu memang menggoncang dunia. Banyak negara membangun terduduk seketika dan krisis akibat Plaza Accord terus diceritakan dari semasa ke semasa apabila menyentuh isu manipulasi pasaran mata wang.

Di Malaysia, sehari dua ini ‘peristiwa Sucasa’, sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pula disebut-sebut dalam page politik media sosial yang tahap gempanya memang menggoncang politik negara. Skala Richter pun mungkin tidak mampu mengukurnya.

Bahkan ada label ‘Geng Sucasa’, merujuk kepada beberapa individu yang direman termasuk Pengerusi PKR Perak berhubung penyebaran video aksi songsang yang dikaitkan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.



Salah seorang, Haziq Abdullah Abdul Aziz dalam gaya pengumuman hari raya mengaku dia individu dalam video itu manakala Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi pula dari awal menafikannya.

Selepas hampir sebulan, persoalan besar sudah terjawab yakni video itu tulen selepas disahkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador hari ini.

Namun ada persoalan besar kedua, siapa individu dalam video itu? Ini timbulnya Sucasa tadi kerana mengikut beberapa Facebook politik dan cerita dari kem Azmin, mereka kaitkan hotel itu lokasi video tersebut dirakamkan yang menggunakan pelakon luar negara.

Siapa sebenarnya dua individu berkenaan? Maka sekali lagi, sebagai rakyat dalam era Rule of Law, semua perlu menunggu hasil siasatan pihak berkuasa mengenai individu dalam video berkenaan.



Siapa pun yang disahkan polis sebagai pihak yang benar nanti sama ada Peristiwa Sucasa atau Peristiwa Four Points (dakwaan Haziq), kesudahan cerita ini akan memahatkan satu lagi sejarah negara dan tentunya ada pihak yang menang dan kalah.

Pada masa sama, kesannya pasti kepada PKR sendiri. Daripada parti 3A atau AAA (merujuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) seperti digelar lawan politik PKR, mungkin selepas ini tinggal dua A atau satu A sahaja.

Akhirnya bak kata dialog Ibrahim Pendek dalam filem legenda Ali Baba Bujang Lapok arahan Tan Sri P. Ramlee, “mari kita lihat, siapa yang kena”. – UTUSAN ONLINE



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker