PKR menanti belah.
Pergolakan dalaman PKR semakin parah meskipun rata-rata pimpinan mengatakan hubungan mereka baik-baik sahaja.
SEHARI dua ini politik dalaman PKR bergolak dek kerana situasi berbalas kenyataan sesama kepemimpinan tertinggi parti itu berkenaan isu skandal video seks luar tabii yang didakwa melibatkan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Perkembangan mutakhir ini menarik minat ramai kerana secara tidak langsung semakin menyerlahkan kewujudan dua kem utama dalam PKR.
Ramai pemerhati politik berpandangan sekiranya pergolakan ini gagal ditangani dengan berhemah, tidak mustahil PKR berada di ambang retak menanti belah.
Semuanya bermula dengan kenyataan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempersoalkan kesahihan dan siapa dalang menyebarkan video yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin, individu nombor dua parti.
Anwar ketika ditemui di lobi Parlimen secara tegas menyerahkan perkara tersebut sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beberapa jam kemudian, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin muncul dengan gesaan supaya pemimpin terpalit dengan pelbagai tuduhan bercuti sementara bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Gesaan tersebut mengundang rasa tidak senang Mohamed Azmin yang tanpa berselindung membidas Shamsul Iskandar supaya jangan menjadi munafik.
Tumpang sekaki membidas adalah dua Naib Presiden PKR iaitu Tian Chua dan Zuraida Kamarudin yang dikatakan `rapat’ dengan Mohamed Azmin.
Tian Chua menyifatkan gesaan Shamsul Iskandar sebagai mengelirukan, manakala Zuraida percaya perkara tersebut adalah tanda kepada sikap gelabah dan panik.
Sementara itu Azmin Ali membalas kenyataan Anwar yang mahukan dia bercuti dengan menyuruh ketuanya supaya tengok cermin dahulu serta minta Anwar bermuhasabah.
Sumber Utusan