Azmin perlu lihat dirinya sebagai orang disiasat, elok bercuti – Abdullah Sani

Share


Bercuti jalan terbaik – Abdullah Sani

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sedang berdepan kontroversi berhubung isu video seks yang dikatakan mirip dirinya dicadangkan supaya bercuti sementara siasatan sedang dijalankan.

Keputusan yang dianggap jalan terbaik bagi Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid itu adalah untuk memastikan tiada campur tangan dalam siasatan terhadap kes video intim yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin.

Sependapat dengan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin, Abdullah Sani turut mengingatkan tentang falsafah yang dipegang oleh Pakatan Harapan (PH) bahawa tiada sesiapa yang melangkaui undang-undang.

“Dalam siasatan, sesiapa pun patut meletakkan dirinya dalam kategori yang disiasat supaya tidak diganggu perjalanan siasatan.

“Kalau diberitahu kepada saya, itu jalan yang baik walaupun Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan dia patut teruskan. Namun begitu, pada saya ia lebih sempurna bahawa dia perlu lihat dirinya sebagai orang yang disiasat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *