PECAT Nazri Aziz tak beri kesan kepada UMNO

Datuk Seri Nazri Aziz

BANGI, 12 Zulkaedah 1440H, Isnin – “Nazri bukan siapa-siapa. Jika dipecat daripada UMNO tak banyak kesan pun. Lawan PAS di Padang Rengas pasti kalah, meskipun bertanding atas tiket parti lain,” demikian kata pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah.

Namun, pada masa sama beliau mengingatkan bahawa saranan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz mengenai pelantikan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) ada kebenarannya.

Terdahulu, Nazri mencabar pucuk pimpinan UMNO memecatnya jika kurang senang dengan kritikan berhubung pelantikan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Nazri mengingatkan jika beliau dipecat, ia akan mengulangi peristiwa hitam dalam parti ekoran pemecatan beberapa pemimpinan UMNO sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) seperti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas kenyataan Nazri, Ridhuan Tee berkata, beliau tidak yakin bahawa Nazri akan meninggalkan kesan besar terhadap UMNO jika dipecat.

“Dalam PRU14, Nazri (BN) mendapat 10,491, PKR 7,943, PAS 6,847, majoriti 2,548. Katakan dalam PRU15 Nazri bertanding atas tiket PKR, undi UMNO (BN) lari kepada Nazri 2,000, masih ada 8,000 lebih, campur dengan undi PAS, majoriti jauh lebih besar daripada sebelum ini.

“Saya tidak yakin Nazri akan mendapat lebih daripada 2,000 undi UMNO, melihat kepada latar belakangnya. Nazri tidak boleh bandingkan dirinya dengan Muhyiddin dan Shafie Apdal, kerana situasi berbeza,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Ridhuan Tee berkata, ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditubuhkan, pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad amat terasa, sehingga Muhyiddin terasa percikannya, manakala Shafie Apdal pula sangat unik dalam konteks politik Sabah.

“Lagipun akhlak mereka berdua jauh berbeza daripada Nazri. Justeru, saya sarankan Nazri, dalam usia yang semakin lanjut, eloklah mendekatkan diri dengan masjid dan surau.

“Tidaklah perlu bersusah payah mencari musuh lagi. Apatah lagi musuh dalam UMNO. Cukuplah dengan apa yang telah diperoleh ketika menjadi menteri,” katanya.

Bagaimanapun, Ridhuan Tee berkata, saranan Nazri itu ada kebenarannya.

Katanya, pemimpin yang mempunyai skandal, korupsi dan rasuah, walaupun belum dibuktikan bersalah, sepatutnya ‘menjauhkan’ diri daripada parti.

“Duduklah di belakang daripada memimpin di hadapan. Ingat, politik itu adalah sebahagiannya berkaitan dengan persepsi. Buat masa ini walaupun sambutan ke atas ‘bossku’ amat menggalakkan, itu bukan petanda bahawa UMNO telah mendapat kepercayaan semula.

“Tidakkah lebih baik, UMNO ditonjolkan dan dijenamakan semula dengan imej sebersih-bersihnya. Otai-otai ini berehatkan sebagai penasihat. Otai-otai yang terpalit dengan skandal, ‘low profile’-lah, berehatlah. Lagipun usia bukan muda lagi. Beri peluang kepada yang lain,” katanya.

Semalam, Nazri menegaskan, walau apa pun yang berlaku terhadapnya beliau akan terus mengulangi pendiriannya tidak bersetuju dengan pelantikan Najib.

Beliau turut meminta Najib supaya tidak menjadikan UMNO sebagai perisai mempertahankan dirinya daripada tuduhan kes rasuah di mahkamah.

Prof. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
ISMAWeb

Tidak patut BN disalahkan kerana Nazri Aziz

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker