MELAYU bersatu ultra kiasu ‘MATI’

Share


APABILA PAS menerima baik UMNO sebagai rakan sesama saudara untuk bekerjasama, muncikari DAP kata, PAS bekerjasama dengan perompak.

Namun, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak ahli parti Melayu, terutama UMNO, menyertai Bersatu, maka muncikari DAP diam seribu bahasa. Bila bercerai, buat apapun semua salah. Mana akhlak Islam pergi?

Lebih menjengkelkan, ada pemimpin PAN berkata, tawaran Tun M ada logiknya. Seorang lagi berkata, Melayu tiada pilihan selain Bersatu, PKR dan Amanah. Paling teruk, ada seorang lagi berkata, ahli PAS mesti menyertai PAN. Sudahkah yang bercakap ini cermin diri? Siapa perlu masuk kepada siapa? Parti siapa lebih besar, dominan dan berpengaruh?

Macam mana label perompak dan berkawan dengan perompak selama ini? Hanya apabila ketua kita berkata, maka semua berubah fikiran pakat-pakat bodek. Kuat sungguh bodek boss. Ke manakah pergi prinsip selama ini?

Saya amat bersetuju dengan pandangan negarawan ulung kita yang menurutnya, kewujudan semakin banyak parti Melayu hanya akan menyebabkan potensi mereka untuk menang pilihan raya semakin tipis. Kalau dahulu, cuma ada satu sahaja parti yang mewakili orang Melayu, tetapi kini tidak lagi. Sudah berpecah enam. Sedangkan jumlah orang Melayu berada di sekitar bawah 60 peratus. Perpecahan ini sudah tentu tidak menguntungkan Melayu.

Ternyata pemikiran Tun Mahathir jauh ke hadapan, daripada dahulu hingga sekarang, meskipun sudah berusia 94 tahun. Selamat hari lahir Tun.

Kepada pemimpin PAN, sejak keluar daripada PAS, begitu marah dengan PAS, kenapa bila pelawaan dibuat oleh Tun Mahathir, terus cakap tidak setuju sahaja.

Selama ini perkataan ‘perompak’ sudah disinonimkan oleh PAN dan PKR terhadap UMNO (BN) dan percikannya PAS. PAS terkena tempias kerana ‘berkawan’ dengan UMNO yang menjadi musuh selama ini. Sedangkan kita semua tahu, perompak itu adalah orang, bukan parti. Parti UMNO tidak boleh merompak kerana parti adalah wadah, bukan orang.

Label perompak kepada pemimpin UMNO, turut terpalit kepada parti dan ahli. Apa salah mereka? Jika pemimpin yang menjadi perompak, tujukan sahaja kepada pemimpin. Parti dan ahli tidak bersalah.

Sebelum ini pemimpin nombor satu PAN pernah berkata, beliau berasa sedih kerana banyak markas PAS di sekitar Kedah kini digunakan bersama UMNO yang dulu dilawan.

Beliau ingat lagi bagaimana beliau dan kepimpinan parti itu dahulu berceramah bagi memungut derma untuk membina markas itu supaya dijadikan pusat tarbiah rakyat.

Katanya, menelusuri jalan-jalan daripada Pendang, Sungai Tiang, Jeneri, Sik, Parit Panjang dan Baling, masih tersergam markas-markas PAS yang dibina sejak puluhan tahun lalu. Markas itu dibina atas sumbangan orang ramai.

Beliau mengimbas kenangan lama itu setelah mengadakan lawatan kerja ke Kedah. Beliau dibawa menziarahi Madrasah Misbahul Falah atau dikenali Pondok Lanai, Baling, yang menurutnya lokasi perhimpunan ulama yang memutuskan almarhum Ibrahim Libya yang mati ditembak di Kampung Memali sebagai syahid.

Kepada pemimpin PAN yang begitu cemburu dengan kerjasama UMNO-PAS, tidak perlu risau soal semua markas PAS yang dibina seluruh Malaysia hasil sumbangan orang ramai. Semua telah dikira sebagai amal jariah dan sedekah. Pahala kepada mereka yang menyumbang amat mulia di sisi Allah. Masalahnya, adalah kamu yang suka mengata dan mengumpat.

Apakah dosa penyumbang markas akan berkurang apabila markas itu turut digunakan oleh UMNO atas jemputan PAS untuk berceramah. Jawapannya, tidak. Pahala mereka yang menyumbang tidak berkurang walau sedikitpun. Malah, mungkin berganda lagi, kerana pentas atau markas itu digunakan untuk menyedarkan orang ramai, bukan untuk kegunaan joget lambak dan program maksiat seperti apa yang berlaku di beberapa kolej yang heboh diperkatakan baru-baru ini.

Percayalah, apabila UMNO berada di pentas dan markas PAS, secara automatik, UMNO akan mengikut rentak PAS, sebab PAS adalah tuan rumah. Rentak PAS yang saya maksudkan adalah, tidak ada program atau aktiviti maksiat yang dijalan sebelum dan selepas majlis berakhir. Tidakkah UMNO dapat percikan cahaya apabila berkawan dengan PAS?

Jika dahulu ada pemimpin UMNO berselawat pun tak lepas bila memulakan ucapan, tetapi kini sudah lancar. Malah, kadang kala ayat Quran yang dibawa dalam ucapan lebih banyak daripada PAS.

Begitu juga dengan apabila PAS menggunakan pentas UMNO atau ‘markas’ UMNO. Sudah tentu UMNO akan menghormati PAS yang membawa ‘imej Islam’. Kerjasama ini saya lihat banyak kebaikan kepada kedua belah pihak dan juga proses tarbiyah yang sedang berjalan.

UMNO yang dahulu berada lama dalam kerajaan sudah tentu akan ‘mengajar’ serba sedikit urusan pentadbiran negara kepada PAS jika mendapat peluang memerintah nanti. Pendek kata, UMNO-PAS saling lengkap melengkapi sesama Islam. Kecualilah jika mereka tidak mahu belajar daripada sejarah dan pengalaman pahit ketika bersama sebelum ini.

Kepada pemimpin PAN terutamanya, janganlah gabra. Hari ini kamu mungkin jadi menteri, akan datang belum tentu lagi. Cemburukah dengan gabungan mantap ini?

Justeru, tidak perlu sakit hati dengan kerjasama ini. Tidak perlulah lagi label UMNO dengan perompak. Jika benar-benar ada rompakan berlaku, jangan risau. Kita ada mahkamah dan undang-undang akan menghukum mereka. Saya memang mahu mereka yang bersalah dihukum.

Saya ingin berpesan kepada pemimpin PAN dan PKR ini, buat kerja masing-masing secara profesional sementara ada kuasa ini. Pada masa sama, buatlah persediaan. Manalah tahu, selepas ini menjadi pembangkang pulak. Ketika itu, orang lain akan korek pulak apa yang kamu lakukan ketika memerintah. Berlaku rompakan atau tidak?

Saya harapkan UMNO-PAS terus buat kerja pada tahap terbaik untuk memenangi PRU akan datang. Buatlah perancangan dan strategi. Kenyataan yang boleh menyinggung dan mengguris hati hendaklah dikurangkan. Berikan fakta dan hujah yang logik dan rasional yang menggembirakan semua rakyat, termasuk Sabah dan Sarawak. Saya agak bimbang dengan penerimaan Sabah dan Sarawak terhadap PAS.

Logiknya, UMNO lebih mudah diterima di Sabah dan Sarawak berbanding PAS. PAS masih dilihat sebagai parti Islam yang mahu menegakkan hukum Islam dan hudud di Sabah dan Sarawak. Pada saya, biarlah UMNO melakukan kerja-kerja di sana. Kerjasama UMNO-PAS hendaklah ‘disenyapkan’ dalam konteks Sabah dan Sarawak. Paling penting berstrategi.

Perkara ini sangat penting. Ingat! undi Melayu yang sedia ada tidak mampu memenangkan UMNO-PAS tanpa undi Sabah dan Sarawak. Sama seperti sekarang, tanpa Sabah dan Sarawak, tidak mungkin PH dengan mudah boleh membentuk kerajaan.

Sebab itulah saya ingin ingatkan pucuk pimpinan UMNO-PAS, apabila mengeluarkan kenyataan mengenai sesuatu perkara berkaitan agama misalnya, janganlah sampai penduduk Sabah dan Sarawak tersinggung. Begitu juga rakan bukan Islam mereka seperti MCA dan MIC.

Perkara berkaitan agama Islam hendaklah dilakukan dengan penuh hikmah. Tidak usah bising-bising. Lupakan soal hudud dan isu negara Islam. Buktikan dahulu di Kelantan dan Terengganu. Untuk Malaysia secara keseluruhan, banyakkan bercakap soal nilai-nilai Islam, kerana saya yakin ia ada dalam semua agama. Islam sesuai untuk semua.

Pada hemat saya, selagi mana nilai-nilai Islam dan syariat untuk orang Islam dapat berjalan, itu sudah cukup bertuah.

Fikirkan Sabah dan Sarawak – fokuskan perbincangan mengenai kebajikan dan pembangunan. Pastikan Sabah dan Sarawak membangun bersama Semenanjung. Ingat! Saiz Sarawak sahaja sebesar Semenanjung. Begitu juga dengan Sabah.

Bukan perkara mudah untuk membangunkan Sabah dan Sarawak. Satu kawasan Parlimen di Sarawak, seperti Parlimen Hulu Rajang, sama luasnya dengan negeri Pahang. Sedangkan di Pahang ada 14 kerusi Parlimen.

Bayangkan sukarnya untuk membangunkan Sarawak. Tapi itu bukan suatu perkara yang mustahil. Malaysia jika dilihat dalam peta dunia, amat kecil berbanding dengan negara-negara lain. Usahlah banding dengan negara China. Ringkasnya, jangan biarkan Sabah dan Sarawak ketinggalan.

Saya begitu terkilan apabila ada isu dibangkitkan mengenai Bible yang terdapat di hotel-hotel mewah yang dikatakan begitu ketara pada ketika ini atau pada zaman PH memerintah. Sebenarnya isu Bible ini sudah ada pada zaman BN. Suka.. baca, tak suka… tinggalkan, atau buang sahaja. Tidak timbul isu. Kenapa kita tidak gunakan kesempatan untuk meletakkan al-Quran. Ya, tidak dinafikan memang ada, tetapi tidak seagresif Bible.

Kenyataan ini saya kira tidak berstrategi, walaupun dari segi hak menyampaikan itu memang ada. Pada saya isu Bible dalam hotel ini isu kecil, tidak ramai pun baca, termasuk orang Kristian sendiri yang duduk di hotel. Iman kita tidak akan tergugat dengan membaca Bible.

Tidak ramai pun faham, juga apabila dibaca oleh orang Islam. Saya bukan menggalakkan, tetapi kenyataan ini mengguriskan hati Bumiputera Sabah dan Sarawak. Contoh, Tun Mustapha Harun ketika memimpin Sabah, orang Islam Sabah ketika itu hanya 30 peratus, tetapi dengan berkat usaha gigihnya, kini umat Islam di Sabah melebihi 50 peratus dan agama Islam berjaya diangkat menjadi agama rasmi Sabah.

Kita melakukan perkara sama di Sarawak, tetapi umat Islam perlu kuat bekerja, kurang bercakap dan retorik hudud dan negara Islam, kerana ini akan menakutkan mereka. Banyakkan dakwah dan sebarkan nilai-nilai Islam, meskipun sudah terlambat.

Seperti saya katakan dahulu, di Sabah dan Sarawak, cukuplah PAS menjadi badan dakwah, bukan parti politik. Serahkan tanggungjawab itu kepada UMNO dan sekutunya.

Kesimpulannya, PRU15, adalah pertarungan yang amat unik dalam politik Malaysia, benar-benar menguji kekuatan PH vs BN bersama PAS serta penerimaan Sabah dan Sarawak terhadap gabungan parti itu. Tidak mustahil BN (UMNO-PAS) boleh memerintah jika dilakukan dengan penuh strategi dan penuh hikmah.

Jika BN dan PAS menang, petanda buat PAN mungkin tidak lama. Bersatu tidak mustahil kembali bersama UMNO. Tinggal dua parti lagi, iaitu ultra kiasu Cina dan ultra kiasu Melayu. Jika orang Melayu Islam bersatu, saya tidak yakin ultra kiasu boleh bangkit.

Prof. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
ISMAWeb


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *