HUSAM PILIHAN ANWAR UNTUK JADI TIMBALAN PERDANA MENTERI?

 

Bila Datuk Husam Musa mencadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri bila Datuk Seri Anwar Ibrahim naik sebagai Perdana Menteri, terus saya teringat kepada pendedahan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di Kelantan pada 5 November 2015 bahawa Datuk Husam adalah pilihan Datuk Seri Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri jika beliau naik sebagai Perdana Menteri.

Waktu Datuk Seri Saifuddin Nasution menanyakan Datuk Seri Anwar mengenai calon pilihan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri ini, Datuk Husam adalah Naib Presiden PAS yang berpakat dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat dan senario waktu ini tidak berubah banyak melainkan kemasukan BERSATU dan penggantian PAS oleh AMANAH dalam Pakatan Harapan dengan Datuk Husam juga Naib Presiden AMANAH.

Oleh itu, walaupun Datuk Husam kini hanya merupakan seorang Senator yang memegang jawatan Pengerusi KADA sahaja berbanding Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden AMANAH lain yang memegang jawatan Menteri atau Timbalan Menteri, jangan terkejut sekiranya Datuk Husam dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri, atau paling tidak sebagai Menteri kanan, bila Datuk Seri Anwar Ibrahim naik sebagai Perdana Menteri.

TRANSKRIPSI UCAPAN DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL DI KELANTAN PADA 5 NOVEMBER 2015

“Saya pernah tanya dengan Datuk Seri Anwar secara peribadi, sebagai setiausahanya, rapat dan kenal dia puluhan tahun, saya kata, “Datuk Seri, saya nak tanya hati ke hati, takdirnya rakyat bagi mandat kepada kita, Datuk Seri diamanah sebagai Perdana Menteri, pilihan Datuk Seri sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya nak tanya, siapa?”. Dia sebut dengan saya, “Saif, saudara tanya, saya nak jawab: Kalau takdir rakyat bagi mandat kepada Pakatan Rakyat dan saya Perdana Menteri, calon Timbalan yang saya nak berada membantu saya ialah Datuk Husam Musa”. Dia sebut dengan saya. Dia tak kira ‘party hierarchy’. Sebab saya tanya soalan secara santai. Husam waktu itu cuma Naib Presiden. Itu yang dia nak. Belum kesampaian.”

Dr. Kamarul Yusoff

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker