Exco Perak didakwa bocorkan minit mesyuarat kerajaan negeri untuk dapatkan komisyen

Exco Perak didakwa bocorkan minit mesyuarat kerajaan negeri

Seorang ahli PKR membuat laporan polis berhubung dakwaan seorang ahli exco kerajaan negeri telah membocorkan kertas minit mesyuarat exco kerajaan negeri.

Ahli Jawatankuasa PKR Parit Buntar, Beh Yong Kean berkata, ia dilakukan bagi mendapatkan komisyen daripada dua buah syarikat pertanian.

Menurutnya, perkara itu berlaku selepas ahli exco berkenaan bersetuju untuk menyokong permohonan pemilikan tanah pertanian seluas lebih 36 hektar kepada dua buah syarikat berkenaan.

“Tujuan membocorkan kertas minit mesyuarat itu ialah untuk memulakan rundingan dan meminta komisyen bagi menyokong permohonan berkenaan tanah pertanian tersebut.

“Perbuatan ini melanggar Akta Rahsia dan ia merupakan tindakan jenayah,” katanya selepas ditemui pemberita setelah membuat laporan polis di Balai Polis Sentral di sini hari ini.

Yong Kean yang juga Ahli Majlis Daerah Kerian berkata, perkara itu dikesan tahun lalu dan beliau sedia memberikan bukti dan saksi kepada pihak polis.

Menurutnya, sebagai ahli exco, wakil rakyat berkenaan tidak seharusnya membocorkan rahsia kerajaan dan menggunakan kedudukan untuk meminta rasuah.

“Saya berharap pihak polis menyiasat secara adil tanpa melihat kedudukannya dalam kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby mengesahkan menerima laporan tersebut.

“Bagaimanapun laporan tersebut akan dirujuk kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker