‘Bantulah kami di Pasir Gudang’

KEMENTERIAN Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim memaklumkan bahawa satu memorandum mendapatkan peruntukan mewujudkan stesen pemantau bahan-bahan cemar udara secara tetap telah dibentangkan di Kabinet pada 5 Julai lalu.

Stesen ini bertujuan mengesan pencemaran udara secara lebih cepat dan berkesan. Andainya stesen ini diwujudkan maka pemantauan secara lebih spesifik terhadap kualiti udara di kawasan Pasir Gudang akan dapat dijalankan dengan mudah.

Kami rakyat Pasir Gudang amat berharap dengan adanya stesen kekal sebegini, pemantauan secara berkala dan berterusan dapat dijalankan malah tahap kualiti udara dapat dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Pun begitu, bagaimanakah keadaan masyarakat dalam kawasan kejiranan Pasir Gudang? Persoalan yang berlegar di sanubari kerana bimbang dengan masyarakat yang tinggal di sana mahupun mencari rezeki di kawasan yang sudah sekian lama menjadi lubuk rezeki pelbagai profesion itu.

Sudah pasti mereka berdepan dengan trauma akibat kes pencemaran udara ini. Ini kerana sudah dua kali insiden yang sama berulang menyebabkan para penduduk mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga.

Apa yang paling penting dan utama adalah bagaimanakah masyarakat setempat mengurus dan menjalani kehidupan mereka selepas bencana seperti ini?

Kejadian seperti ini sebenarnya boleh memberi kesan yang mendalam kepada mangsa. Antara kesan segera dan ketara yang boleh berlaku adalah kesan psikologi yang traumatik dan boleh menjejaskan emosi mangsa.

Kesan traumatik yang tidak berjaya dikawal boleh meninggalkan kesan terhadap seseorang individu. Ia boleh menyebabkan kecederaan fizikal, emosi, psikologi ataupun mental. Seseorang yang mengalami trauma berkemungkinan akan berasa bimbang atau ketakutan.

Dalam sesetengah kes, mereka mungkin tidak tahu bagaimana untuk memberi respon atau mungkin menafikan kejadian yang berlaku. Individu seperti ini amat memerlukan bantuan dan masa untuk menyembuhkan diri di samping menstabilkan emosi dan mental mereka.

Dapatan kajian menunjukkan kebanyakan individu mampu untuk kembali kepada keadaan asal selepas mengalami sesuatu tragedi. Adalah normal bagi seseorang untuk mengalami tekanan selepas bencana tetapi selepas beberapa bulan seseorang itu sebenarnya sudah mampu menjalani kehidupan seperti biasa.

Sebagai ahli keluarga dan masyarakat, kita perlu memberi masa kepada mereka yang berdepan bencana untuk menyesuaikan diri.

Kita haruslah sentiasa mengambil berat serta menunjukkan sikap memahami situasi yang sedang mereka hadapi dan perlu tangani saat berdepan krisis tersebut.

Selain daripada itu, kita juga boleh mendengar mereka meluahkan perasaan yang mengganggu fikiran. Bantuan boleh diberikan dengan membantu mendaftarkan mereka menyertai pelbagai kumpulan sokongan yang diketuai pakar yang terlatih.

Mereka perlulah dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat.

Di samping itu, galakkan mereka untuk menambah baik rutin seharian mereka. Sentiasalah mengambil berat akan keadaan mangsa bencana dan menggalakkan mereka untuk tidak membuat apa-apa keputusan yang besar dalam kehidupan mereka untuk sementara waktu.

Saya berharap akan ada pelan pengurusan trauma selepas bencana bagi memastikan ada sokongan dan bantuan berterusan untuk rakyat yang berdepan dengan bencana sebegini.

Kita mahu semua pihak sama ada kerajaan, swasta, rakyat yang dilanda bencana mahupun yang ingin membantu serta pelbagai agensi pertubuhan bukan kerajaan dapat bersama-sama menghadapi bencana ini walaupun sekadar memberi sokongan moral kepada mereka yang dilanda musibah ini.

Saya kira sudah sampai masanya kita melihat apa yang telah dibuat di negara Iceland. Ini kerana Iceland telah diiktiraf sebagai negara paling selamat di dunia berdasarkan Skor Indeks Ke­selamatan yang dikeluarkan oleh majalah Global Finance.

Majalah tersebut membuat penilaian dengan mengambil kira soal perang dan keamanan, kadar jenayah serta risiko bencana alam. Sudah pasti kita juga ingin melihat negara kita mencapai status sebegitu pada masa akan datang. Tidak mustahil bukan?

SUHANA MOHAMED
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Kewangan, Fakulti 
Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.

Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker