Zahid, Najib mimpi ngeri buat PH

Bagaikan jodoh yang mendapat berkat, beberapa jam selepas mendapat pujian melangit daripada anggota parlimen Bachok, maka Najib Razak pun diumumkanlah sebagai insan terpilih menjadi pengerusi lembaga penasihat BN.

Itulah yang dikatakan takdir. Atau – untuk mengambil ruh semangat ungkapan Nik Abduh Nik Abdul Aziz sendiri – ia adalah “kepelikan yang Allah Taala buat” terhadap Umno dan Najib.

Siapa yang menyangka Ahmad Zahid Hamidi mengambil langkah strategik itu di saat Umno berdepan pelbagai rincangan dan mehnah daripada PH?

Hanya beberapa hari selepas kembali sebagai presiden parti, Ahmad Zahid membawa masuk Najib ke kancah siasah negara yang penuh dengan drama dan intrigue ini.

Ia dapat difahami sebagai salah satu keputusan besar dan penting diambil Ahmad Zahid demi menyelamatkan Umno dan BN memandangkan keputusan tersebut diambil dalam tempoh segera.

Ada kemungkinan besar pelantikan tersebut dibuat berdasarkan kepada kasyaf ulama yang menjadi sumber rujukan Ahmad Zahid. Satu lagi kemungkinan, ia dibuat berdasarkan nasihat dan ilham pada tuan guru PAS yang memang bersepah-sepah dalam parti tersebut.

Atau ia adalah gabungan kasyaf ulama di belakang Zahid dengan tuan-tuan guru di belakang PAS.

Justeru kemasukan Najib menjadi ketua penasihat BN, dijangkakan berlakukan perubahan drastik terhadap gagasan pembangkang. Paling tidak mereka – yakni pembangkang – akan mendapat suntikan semangat baru mencanak-canak.

Semua ada pada Najib

Ia sesuai dengan sifat Najib sejak BN kalah, iaitu kembali remaja dan bergelora. Jika ada sesiapa mahu menafikan, lihatlah dulu kepada kepetahan beliau berpencak dengan kata-kata di media sosial.

Memang tidak padan keremajaan hantaran-hantaran Najib dengan usia sebenar beliau sekarang. Kelebihan itu tentulah dapat dimanfaatkan oleh pembangkang bagi mendepani PH yang diketuai seorang perdana menteri berusia 94 tahun.

Perkara kedua yang menarik di sebalik pelantikan sebulat suara Najib malam tadi ialah, beliau hadir sebagai ketua penasihat dalam pakej yang lengkap.

Selain berwibawa, Najib juga penuh dengan pengalaman di dadanya. Ia adalah kelebihan yang jarang-jarang ada pada pemimpin lain dalam BN. Sebut saja apa yang diperlukan oleh pembangkang – ramuannya ada dalam Najib.

Mengatur strategi laut biru – Najib biasa.

Menyusun barisan untuk bergerak sederap – Najib mampu.

Menyerang kerajaan dengan kaedah troll – semuanya ada di hujung jari Najib.

Berunding dengan parti lain – terutama secara senyap-senyap, laksana api dalam sekam – Najiblah orangnya.

Merungkai ikatan persefahaman lawan – termasuk dalam konteks dalaman parti (malah boleh sampai berlaku perpecahan seperti pada 2015) – Najib tahu.

Lebih daripada itu Najib adalah otak genius yang diperkirakan dapat mencari penyelesaian kepada isu harta Umno yang dibekukan oleh kerajaan PH.

Dengan latar belakang beliau sebagai pendiri 1MDB, sudah pasti Najib boleh berkira-kira untuk mencari jalan menubuhkan sebuah entiti khusus untuk menjana pendapatan buat BN.

Ditambah hubungan baik dan intim Umno, MIC dan MCA dengan PAS, kepintaran Najib boleh digabungkan dengan kelebihan yang ada pada parti berkenaan.

Wakil rakyat tidak akan lompat

Mewujudkan sebuah badan atau syarikat pencari keuntungan dengan citra agama, misalnya. Boleh saja dimulakan dengan istilah-istilah Arab untuk dijadikan nama entiti tersebut.

Najib dan Ahmad Zahid merangka, dan PAS menasihat. Itu satu lagi ‘jodoh’ sempurna buat Umno dan PAS.

Siasah, sosial dan ekonomi – semuanya dalam bidang ilmu Najib. Beliau tahu serba-serbi. Pedulilah hakikat bahawa beliau tidak tahu menahu wang berjuta-juta ringgit dimasukkan ke akaunnya. Itu cerita lain.

Cuma satu hal yang boleh dipertanyakan sekarang ialah: bagaimana sifir wakil-wakil rakyat Umno yang – setakat ini – masih setia?

Baca Waspada dengan Dr M, pesan KJ pada Umno

Tidakkah dulu pernah ada rungutan – dan ancaman – untuk sesetengah mereka melompat parti sehingga mendorong Ahmad Zahid kemudiannya bercuti?

Ketika kata-kata dan ajakan Dr Mahathir Mohamad kepada anggota parlimen dan DUN dari parti Melayu masih baru dilafazkannya, kemasukan semula Ahmad Zahid ke kancah politik aktif di PWTC dan kehadiran Najib menjadi ketua penasihat BN, isu wakil rakyat tersebut mungkin timbul kembali.

Namun kerisauan melampau tidak perlu dirasai Umno. Parti itu ternyata semakin teguh dan kukuh dengan adanya pemimpin berwibawa seperti Ahmad Zahid dan Najib.

Lupakan dulu puluhan pertuduhan mahkamah yang dihadapi setiap seorang daripada mereka. Wibawa dan ketokohan Ahmad Zahid dan Najib tidak pernah luntur dengan dakwaan mereka terbabit dalam salah guna kuasa serta pengubahan wang haram.

Jika tidak, maka tidaklah Nik Abduh menganggap Najib lebih popular berbanding almarhum ayahanda beliau dulu.

Ia cukup untuk mengikat hati wakil-wakil rakyat Umno/BN untuk kekal bersama pembangkang ketimbang menyeberang ke kapal PH. Lebih daripada itu, ia juga akan menambah pesona Umno di mata PAS.

Hakikatnya PH kini berdepan detik sukar untuk kekal berkuasa. Kemaraan Umno dan PAS kini diwarnai oleh bayang-bayang ketokohan Ahmad Zahid dan Najib.

Justeru, di pihak PH, hanya ada satu kata: Awas!

Mkini

Related Articles

One Comment

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker