Syed Saddiq jangan campuri urusan Johor

Share


Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) mengambil maklum segala perkembangan yang berkaitan dengan belia di negeri Johor. Keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri di dalam 48 jam kebelakangan ini menimbulkan keresahan dan kegelisahan di kalangan belia di seluruh negeri Johor.

Apakah sebenarnya yang hendak di perjudikan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan di peringkat negeri sehingga membuat keputusan yang tidak selaras, umpama berlaku pergolakan konflik yang begitu ketara sekali ?

Kerajaan Persekutuan terutamanya Kementerian Belia dan Sukan mesti mencari punca dan sebab mengapa Johor serta beberapa negeri lain masih mahu mengekalkan had umur belia kepada 40 tahun.

Apabila Kementerian Belia dan Sukan di bawah pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak serius dan ikhlas menangani permasalahan belia secara holistik, ia sebenarnya membuka lompang permasalahan baru yang membabitkan pengangguran, peluang kerjaya dan latihan serta perkembangan ekonomi sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan.

MBNJ amat bertegas sejak dahulu lagi bahawa menghadkan umur belia kepada 30 tahun bukan sahaja menghalang perkembangan potensi diri belia malah mempercayai bahawa belia dalam lingkungan umur ini yang paling banyak terlibat dengan Agenda Pembangunan Belia yang melibatkan ekonomi, sosial dan kemasyarakatan serta memperkasakan kesukarelawan.

Di kesempatan ini, MBNJ ingin menasihatkan Menteri Belia dan Sukan agar tidak mencampuri urusan pentadbiran negeri Johor. Negeri Johor mempunyai YAB Menteri Besar, barisan Exco, Pegawai Tadbir Negeri dan Badan Induk Belia yang sentiasa rapat dengan golongan muda ini dan berupaya menentukan jatuh bangunnya Belia di negeri Johor. Dan tidak usahlah YB Menteri terlalu mengganggu tugas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mempunyai tugasan lebih utama terhadap negara.

Adalah lebih baik untuk Syed Saddiq mengutamakan isu lain yang lebih mendesak seperti janji tidak tertunai terhadap golongan muda seperti isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), peluang pekerjaan (terutama 400,000 pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura), kos sara hidup, perumahan pasangan muda dan sebagainya.

MBNJ juga berharap agar segala usaha murni Kerajaan Negeri Johor ini tidak lagi di politikkan, tetapi bersamalah kami di dalam segala kesempatan dan ruang untuk memastikan Belia Johor terus berupaya memacu pembangunan dan kemajuan negeri ini.

Penulis merupakan Presiden Majlis Belia Negeri Johor

Utusan



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *