Terbit perkataan menghasut terhadap Sultan Selangor, Wan Ji dipenjara setahun

Share

Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin terpaksa meringkuk dalam penjara selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, tujuh tahun lalu.

Wan Ji yang pada 2017 dilantik sebagai Pegawai Penerangan kepada Lim Guan Eng sewaktu Menteri Kewangan itu bergelar Ketua Menteri Pulau Pinang malahan terpaksa meringkuk selama setahun setelah Hakim, Datuk Abdul Halim Aman meminda hukuman asal setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan.

“Setelah menimbang faktor mitigasi dan keseriusan kes, mahkamah dengan ini meminda hukuman sembilan bulan yang dijatuhi oleh hakim Mahkamah Sesyen kepada penjara bagi tempoh satu tahun dan hukuman itu berkuatkuasa hari ini,” katanya.


Dalam ringkasan penghakimannya, Abdul Halim berkata, penerbitan kata-kata menghasut adalah satu penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

“Terhadap apa yang dinyatakan tertuduh ini seperti mana tertera dalam pertuduhan, saya mendapati ia adalah sesuatu yang sudah terang lagi bersuluh.

“Ini adalah satu tindakan yang melampaui batasan, kita kena ingat kepada prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja-raja.


“Walaupun sebagai warganegara kita diberi banyak kebebasan, namun ia ada had dan ia masih tertakluk kepada undang-undang dan normal kehidupan,” katanya.

Pada 9 April 2018, Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd. Sabri Ismail menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara ke atas Wan Ji selepas dia didapati bersalah terhadap pertuduhan itu.

Sebelum itu, pada 10 September 2014, Wan Ji mengaku tidak bersalah menerbitkan perkataan menghina Sultan Sharafuddin termasuk membabitkan isu agama dalam akaun Facebook wanji.attaaduddi.


Kesalahan itu dilakukannya di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini, jam 10 pagi, pada 5 November 2012.

Sementara itu, Wan Ji, menerusi peguamnya, Mohd. Radzlan Jalaludin memohon penangguhan perlaksanaan hukuman atas alasan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun hakim memerintah peguam memfailkan permohonan penangguhan tersebut secara rasmi. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply