Apa keputusan lawatan pemimpin ke China?

Share


KUALA LUMPUR 8 Julai – Dalam masa dua bulan ini, seramai tiga pemimpin utama negara iaitu Perdana dan Timbalan Menteri serta Menteri Kewangan mengadakan lawatan ke China, namun apakah keputusan besar yang telah dicapai?

Persoalan tersebut dibangkitkan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai yang melihat hasil lawatan kerja itu seperti didedahkan media sebelum ini hanya berkaitan perkara dibincangkan kedua-dua negara dan bukannya keputusan yang telah dicapai.

Sehubungan itu, beliau menggesa secara khususnya kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan keputusan dan laporan lebih mendalam kepada rakyat terutamanya ahli perniagaan bagi melihat peluang menerusi hala tuju kerjasama kedua-dua negara.

“Gerakan berterima kasih kepada Guan Eng dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail atas lawatan kerja mereka ke China. Ini akan dapat memperkukuh kerjasama dua hala negara terlibat dan menarik lebih pelaburan China ke Malaysia.

“Namun, menerusi laporan media, selepas lawatan rasmi pertama Malaysia ke China, Guan Eng hanya mendedahkan bahawa banyak bank negara itu berhasrat mengeluarkan bon Panda untuk Malaysia, itu sahaja. Dalam laporan sama, kami tahu banyak perkara dibincangkan antaranya Belt and Road Initiative (BRI) dan kerjasama ekonomi serantau, namun tiada keputusan besar diumumkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut meminta Wan Azizah dapat ‘memujuk’ China untuk mengimport lebih banyak minyak kelapa sawit kerana harga semasa komoditi itu telah jatuh dan memberi kesan kepada ramai peneroka. – UTUSAN ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *