Tragedi Kemanusiaan di Pasir Gudang

Share


APA yang berlaku di Pasir Gudang bukan sahaja tragedi alam sekitar tetapi juga tragedi kemanusiaan yang sangat menyayat hati. Ini juga satu kegagalan serius kerajaan dan kementerian terbabit.

Pada Mac 2019, ribuan orang dimasukkan ke dalam hospital akibat pencemaran udara di kawasan Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Udara kawasan tersebut dicemari antaranya gas acrylonitrile, xylene, metana dan toluene. Gas itu boleh menyerap ke dalam badan manusia melalui saluran pernafasan dan kulit menyebabkan sakit kepala, loya, pengsan dan sukar bernafas

Pada Jun 2019 berlaku lagi masalah yang sama di kawasan serupa membabitkan ratusan orang. Ia berlaku setelah kerajaan menyatakan sudah membersihkan sisa toksik yang didakwa punca keracunan udara dengan kos RM6.5 juta.Namun lebih menyedihkan ialah kerajaan langsung tidak menyedari nasib adik Irfan Wafiy Idham Wazir. Pelajar berusia 12 tahun itu antara 103 orang pelajar dan penduduk sekitar kawasan Sungai Kim Kim yang terawal mengalami keracunan udara dan dimasukkan ke hospital.

Ketika sebahagian besar beransur pulih, nasib Irfan sangat menyedihkan. Daripada seorang anak yang aktif bersukan, kini pergerakannya sangat terhad dan kakinya sentiasa menggeletar.

Beliau telah disahkan menghidap myokimia iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan beberapa anggota badan menggeletar. Doktor mengesahkan beliau kini mengalami kegagalan fungsi paru-paru.

Apa yang terjadi kepada Irfan memang menyedihkan. Namun lebih menyedihkan ialah cara kerajaan khususnya KementerianTenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Messtec) menguruskan masalah ini.

Jika kita membaca laporan media, Messtec kelihatan langsung tidak mengetahui mengenai nasib Irfan sehinggalah bapanya ‘mengamuk’ dalam sesi perjumpaan tertutup Menteri Messtec, Yeo Bee Yin, bersama pengusaha kilang di Pasir Gudang baru-baru ini.

Saya beranggapan kerajaan tidak tahu kerana menurut keluarga Irfan tiada pemimpin negara yang datang memberi sokongan dan bantuan kepada mereka. Bayangkan kerajaan langsung tidak mempunyai pengetahuan dan maklumat susulan mengenai mangsa keracunan fasa pertama Mac dulu.

Jika tiada fasa kedua keracunan ini dan jika tidak kerana Idham Wazir (bapa Irfan), ‘menceroboh’ lalu menengking para pengusaha kilang dalam sesi tersebut, sampai hari ini masyarakat tidak mengetahui nasib malang anak tersebut.

Tampak kerajaan hari ini lebih sibuk dengan usaha menjatuhkan dan menekan ahli politik pembangkang berbanding menyelesaikan masalah rakyat.

Gas beracun

Kita berhak bertanya apa yang kerajaan, khususnya Yeo Bee Yin, telah lakukan antara kejadian pertama pada Mac 2019 sehingga kejadian kedua pada Jun 2019.

Kerajaan bukan sahaja gagal mengatasi isu ini, malah lebih teruk gagal memantau perkembangan di kawasan tersebut.

Hakikat keracunan gas kali kedua berlaku dalam tempoh tiga bulan tanpa disedari kerajaan menunjukkan sikap sambil lewa dan cuai menteri menguruskan hal itu.

Di kebanyakan negara luar, apabila berlaku isu pencemaran seperti ini pemantauan kualiti udara dilakukan berbulan malah ada bertahun lamanya bergantung kepada tahap pencemaran.

Malangnya di Malaysia, pemimpin hanya sekadar membuat kenyataan akhbar beberapa minggu dan terus melupakannya.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mendapat nasihat yang salah telah menolak cadangan supaya kerajaan mengisytiharkan darurat bencana.

Mungkin kerajaan khuatir jika diisytihar darurat bencana maka kilang-kilang terbabit akan terjejas dan boleh diarah tutup sehingga pencemaran selesai sepenuhnya.

Untung rugi pengusaha kilang lebih penting daripada kesihatan dan keselamatan rakyat.

Setakat artikel ini ditulis, belum ada sebuah kilang pun yang diarahkan tutup. Kini terdengar pula khabar angin ada kilang berkaitan suami menteri turut berada di kawasan terbabit.

Saya antara orang yang selalu menentang saranan membuang menteri apabila berlaku sesuatu kemalangan, bencana dan musibah. Ini kerana menteri hanya memimpin dan menyediakan polisi baik untuk dilaksanakan, bukannya pihak yang menguruskan operasi secara harian.

Namun dalam kes ini jelas Bee Yin gagal memberi nasihat yang betul kepada Perdana Menteri; gagal mengadakan polisi pemantauan yang cekap; dan lebih memalukan gagal mengetahui kemerosotan kesihatan yang serius mangsa keracunan udara fasa pertama.

Justeru Bee Yin sewajarnya bertanggungjawab penuh atas kegagalan beliau menguruskan situasi ini dan meletak jawatan.

Ab Jalil Backer



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *