Peneroka Felda tersinggung dengan penghinaan Chef Wan.

Kami tersinggung – Peneroka

Kenyataan chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan yang menyifatkan golongan peneroka sebagai malas berusaha dan hanya berharap dengan bantuan kerajaan telah menyinggung hati warga Felda.

Malah kenyataan Tokoh Ikon Felda itu yang menyamakan golongan berkenaan seperti kucing adalah keterlaluan.

Peneroka, Omar Bakar, 63, berkata, setiap hari penoreh bangun seawal pukul 5 pagi bagi mencari rezeki dan kadang-kala sehingga ke petang.



“Kami tidak bergantung kepada bantuan semata-mata sebaliknya sentiasa berusaha keras. Dan memang menjadi tugas kerajaan untuk mengambil berat soal rakyat termasuk warga Felda ini.

“Sebagai orang Melayu dan Islam, Chef Wan patut menjaga tutur kata, bukannya biadab. Jujurnya kami tersinggung,” kata penoreh dari Mata Ayer itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Chef Wan menerusi status dalam akauan Instagram miliknya semalam menyifatkan golongan peneroka Felda bukan sahaja malas bekerja untuk memajukan tanah Felda, sebaliknya hanya berharap sepenuhnya kepada bantuan yang diberikan kerajaan.

Sambil menyamakan golongan berkenaan seperti kucing, Chef Wan berkata, golongan itu juga enggan untuk membantu diri sendiri ke arah yang lebih baik.



Seorang lagi peneroka, Indrus Yahaya, 63, secara sinis berkata, Felda daripada tiada apa dan kini pesat membangun sebagai sebuah konglomerat adalah daripada hasil usaha peneroka.

“Saya datang ke Felda pada 1980-an, daripada tiada apa, kini sudah jauh membangun dan terancang. Malah bantuan yang kerajaan beri juga adalah hasil yang disalurkan kembali kepada peneroka. Kenyataan peneroka malas tidak sepatutnya keluar daripada mulut Chef Wan, “ kata peneroka dari Felda Mata Ayer itu.- UTUSAN ONLINE

Related Articles

One Comment

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker