Mahathir akan “diserang” pada mesyuarat Majlis Presiden PH petang ini – Roslan Shahir

Share

PAS dakwa pemimpin PH akan serang Mahathir petang ini

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir menjangkakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan “diserang dan didera” pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), di Putrajaya hari ini.

Portal Harakahdaily melaporkan Roslan berpendapat demikian gara-gara tindakan Mahathir yang mencadangkan pengukuhan kuasa politik Melayu, baru-baru ini.


“Impian mereka sekian lama terkabul apabila politik Melayu berpecah mengakibatkan mereka muncul berkuasa.

“Dengan kemenangan dan pengaruh ini DAP sedang menyusup masuk agenda mereka dalam kerajaan. Melahirkan sebuah Malaysia yang sekular serta menghidupkan gagasan Malaysian Malaysia sedang giat dilaksanakan.

“Mana mungkin DAP mahu izinkan kuasa politik Melayu kembali bertapak menghancurkan impian mereka selama ini,” kata Roslan.


Menurut pemimpin PAS Selangor itu, bukan menjadi rahsia bahawa PH yang menang melalui sokongan lebih 90 peratus pengundi bukan Melayu dikuasai DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Malah, katanya, DAP punya pengaruh dan kuasa besar dalam kerajaan persekutuan dan sebahagian besar kerajaan-kerajaan negeri hari ini.

“Selagi DAP berkuku selama itulah bumi dipijak milik orang,” katanya.


Mahathir pada Jumaat, 5 Julai lalu mempelawa semua parti Melayu, termasuk Umno menyertai Bersatu dalam usaha menyatukan orang Melayu dan memastikan mereka memenangi pilihan raya umum.

Ini kerana katanya, orang Melayu terlalu berpecah belah dengan kewujudan banyak parti Melayu.

Bagaimanapun, pelawaan Mahathir ditolak oleh Umno yang menegaskan kerjasama (ta’awun siyasi) antara parti itu dan PAS lebih penting untuk agenda penyatuan ummah berbanding menyertai Bersatu.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan orang Melayu tidak memerlukan parti lain melainkan Umno dan PAS.

Presiden PKR Anwar Ibrahim pula ketika mengulas pelawaan itu berkata, majlis Presiden PH akan membincangkan perkara itu petang ini.

Roslan juga mendakwa PKR melihat saranan Mahathir itu juga sebagai usaha menutup peluang Anwar menggantikannya sebagai perdana menteri seperti mana yang dipersetujui oleh pemimpin PH.

“Bila Bersatu kuat mereka boleh tuntut jawatan PM dikekalkan pada mereka, maka meloponglah Anwar.

“PKR hari ini cuma ada satu agenda iaitu melihat Anwar jadi PM. Nasib dan masa depan negara apatah lagi orang Melayu tiada dalam radar keutamaan mereka.

“Yang penting Anwar jadi PM,” katanya.

Mesyuarat Majlis Presiden PH akan berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada jam 6.30 petang ini.

Mkini

Leave a Reply