DR MUJAHID MAHU TANGANI GOLONGAN LIBERAL, PERKASAKAN AGAMA ISLAM DAN LUASKAN KUASA MAHKAMAH SYARIAH

Share

Sangat menarik membaca jawapan-jawapan bertulis yang diberikan oleh YB Datuk Seri Dr Mujahid Bin Yusof, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, terhadap soalan-soalan YB Tuan Ahmad Fadhli Bin Shaari [Pasir Mas], YB Dato’ Haji Mohd Fasiah Bin Haji Mohd Fakeh [Sabak Bernam] dan YB Puan Hajah Siti Zailah Binti Mohd Yusoff [Rantau Panjang] di Dewan Rakyat semalam.

Kepada soalan YB Tuan Ahmad Fadhli yang meminta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk meningkatkan lagi bidang kuasa Mahkamah Syariah supaya dapat menjatuhkan hukuman yang lebih berat ke atas kesalahan qazaf bukan sahaja di Wilayah Persekutuan bahkan di seluruh Malaysia, YB Datuk Seri Dr Mujahid antara lainnya menyebut:
(1) “Kerajaan komited dalam memperkasa dan meluaskan kuasa Mahkamah Syariah secara menyeluruh dan komprehensif”.
(2) “Kerajaan juga berhasrat untuk meminda Akta 355 bagi memastikan hukuman yang diperuntukkan adalah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan”.
(3) “Kerajaan sedang meneliti secara lebih mendalam dan holistik Akta 355 dan undang-undang lain yang berkaitan dengannya sebelum sebarang pindaan dan penambahbaikan dibuat terhadap Akta tersebut dan undang-undang lain yang berkaitan dengannya bagi memastikan aspek pemerkasaan Mahkamah Syariah terutama dalam aspek bidangkuasa tercapai seiring dengan aspek-aspek lain yang perlu diberi penekanan”.

Kepada soalan YB Dato’ Haji Mohd Fasiah yang meminta Perdana Menteri menyatakan langkah Kerajaan untuk memastikan agama Islam terus dipelihara, dipertahan dan diperkasakan sebagai agama Persekutuan sebagaimana Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, YB Datuk Seri Dr Mujahid antara lainnya menyebut:
(1) “Kerajaan sentiasa komited untuk mengambil langkah bagi memastikan agama Islam terus terpelihara, dipertahan dan diperkasakan”.
(2) “Salah satu aspek yang diberi penekanan adalah pemerkasaan, penyelarasan dan penyeragaman undang-undang syariah”.
(3) “Kerajaan sedang dalam proses untuk menyeragamkan undang-undang kesalahan jenayah syariah negeri-negeri seluruh Malaysia dari segi jenis kesalahan, jenis hukuman dan kadar hukuman”.


Kepada soalan YB Puan Hajah Siti Zailah yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah usaha Kerajaan dalam menangani ancaman sebaran ideologi sesat yang bercanggah dengan Islam seperti Liberalisme dan Pluralisme, YB Datuk Seri Dr Mujahid antara lainnya menyebut:
(1) “Kerajaan memandang serius mengenai penularan ideologi dan aliran pemikiran yang bercanggah dengan ajaran Islam seperti liberalisme dan pluralisme”.
(2) “Pendedahan bahaya fahaman liberalisme melalui media baharu dan penyiaran seperti siaran khutbah serta rancangan-rancangan agama…”.
(3) “…berkongsi input dan mencari solusi untuk menangani masalah kecelaruan pemikiran yang dibawa oleh golongan berfikiran liberal”.

Sangat menarik bila seorang tokoh yang sebelum ini dituduh sebagai berfikiran liberal kini:
(1) Mengakui bahaya fahaman liberalisme dan menyatakan komitmen untuk menangani masalah kecelaruan pemikiran yang dibawa oleh golongan berfikiran liberal.
(2) Menyatakan komitmen Kerajaan untuk mengambil langkah bagi memastikan agama Islam terus terpelihara, dipertahan dan diperkasakan.
(3) Menyatakan komitmen Kerajaan untuk memperkasa dan meluaskan kuasa Mahkamah Syariah secara menyeluruh dan komprehensif.

Hasrat untuk meminda Akta 355 itu sudah ada dan dua kali dipertegaskan di Dewan Rakyat, tinggal lagi apakah akan ada kesungguhan dan keberanian politik (political will) untuk melaksanakannya, terutamanya jika timbul bangkangan dari sekutu politik.


Semoga hasrat yang murni ini tidak akan tinggal sebagai hasrat sahaja nantinya.

Sama-sama kita lihat sejauh manakah beliau bersungguh dan berani merealisasikannya.

Dr. Kamarul Yusoff


Leave a Reply