Jangan ‘ditebang’ pokok besar ini … suatu masa boleh berteduh kembali di bawahnya dari ‘ribut petir’ – Tok Mat

Share

ADAKAH UMNO bersedia terhadap sebarang kemungkinan bakal berlaku termasuk menghadapi pengharaman parti itu ekoran dakwaan menerima dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?

Diajukan soalan itu dalam satu pertemuan di Taman Tun Dr. Ismail Kuala Lumpur Isnin lalu, Timbalan Presiden UMNO, DATUK SERI MOHAMAD HASAN atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat mengajak orang Melayu menghayati
satu perkara ini – jasa dan sumbangan UMNO yang bukan sedikit dalam memakmurkan bumi Tanah Melayu, Malaya dan Malaysia selama tempoh 73 tahun.

Ada pesanan disampaikan Tok Mat untuk renungan orang Melayu dan bukan Melayu dalam sembang setengah jam dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL.


BERLINDUNG DARI RIBUT PETIR

UMNO apa pun adalah sebatang pokok besar yang teduh melindungi orang Melayu selama lebih 70 tahun. Kalau tidak mahu berteduh di bawahnya, jangan ditebang. Biarlah pokok itu terus hidup. Kita tidak tahu di masa depan. Mana tahu suatu masa nanti orang Melayu perlu berlindung semula di bawah pokok besar ini dari hujan, panas dan ribut petir.

Pohon besar ini telah banyak melindungi kita dari hujan, panas. Dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO, sedikit kalau tak banyak pun telah banyak membawa kebaikan kepada semua kaum khususnya orang Melayu. Jangan dibunuh pokok yang besar ini. Jangan dibubarkan UMNO ini.


MEREKA PUN DARI SEKOLAH LATIHAN UMNO

UMNO, parti yang telah lama wujud. Parti-parti Melayu yang ada sekarang dalam Pakatan Harapan, Putra dan Negara pun, semuanya bermula dari sekolah latihan UMNO. UMNO telah banyak mengeluarkan pemimpin waima dari dalam kerajaan.

UMNO mentadbir negara bersama rakan-rakan komponen Barisan Nasional telah banyak berjasa membangunkan negara. Tidak lain tidak bukan kerana kerajaan terdahulu ditunjangi UMNO merupakan kerajaan yang stabil. Kerajaan yang mantap akan menstabilkan ekonomi negara menerusi keyakinan pelabur luar.


Kepada orang Melayu, UMNO telah lama menjadi pohon berteduh dan akan sentiasa berfungsi sebagai pohon yang besar.

Jika ada suara hendak bubarkan UMNO, harap janganlah beremosi sangat. Bawalah pemikiran yang tenang, waras.

YAKIN BANGKIT SEMULA

Walaupun UMNO sudah kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, itu tidak bermakna parti tidak boleh bangkit lagi. Bahkan, kalau diambil iktibar dari kekalahan itu dan bermuhasabah diri, UMNO boleh bangkit semula dengan lebih kuat lagi.
 Pemuda, Wanita dan Puteri ada peranan masing-masing. Orang muda dalam UMNO perlu gerakkan usaha untuk menarik lebih ramai orang muda di luar sana untuk bersama-sama menyedarkan anak-anak Melayu akan politik semasa.

4 TAHUN TIDAK LAMA

Dalam politik, empat tahun bukan tempoh yang panjang. Kini setahun dua bulan sudah berlalu sejak PRU-14, 9 Mei tahun lalu. Maka jentera UMNO mesti bersedia dari sekarang untuk menghadapi PRU-15.

Yang kita tidak tahu sama ada PRU-15 dipanggil cukup (mandat memerintah) lima tahun atau tempohnya lebih awal dari itu. Di Sarawak, kita ada rakan BN biarpun Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak bersama dengan BN tetapi GPS tidak pula menyertai PH.

KEGELISAHAN MELAYU

Orang Melayu berasa amat gelisah dengan keadaan politik semasa yang mereka merasakan kepentingan orang Melayu dan agama Islam itu sudah mula dipersoalkan. Kebimbangan itu semakin dirasai dalam empat, lima bulan kebelakangan ini.

Kebanyakan orang tidak kira Melayu dan bukan Melayu berasa tidak selesa dengan kerajaan sekarang disebabkan ketidakstabilan politik dan ekonomi. Kos sara hidup terus mencengkam rakyat. Kuasa beli berkurangan disebabkan harga komoditi asas jatuh. Peniaga-peniaga tidak mendapat keuntungan akibat kurang kuasa beli rakyat.

ALHAMDULILLAH KERJASAMA UMNO-PAS

Alhamdulillah! Orang Melayu telah dapat melihat hasil muktamar Tahunan Pas minggu lepas (21 hingga 23 Jun di Kuantan). Saya ucapkan terima kasih kepada kepemimpinan Pas khususnya Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan seluruh jentera Pas kerana telah sebulat suara membahaskan usul tersebut dan bersetuju menerima agenda penyatuan ummah.

Yang penting sekarang soal penyatuan ummah kerana selepas ini UMNO-Pas akan bersama-sama membentuk piagam penyatuan ummah ini. Ada jawatankuasa pelaksana peringkat negeri dan Parlimen. Penyatuan ummah ini tidak termaktub kepada orang UMNO dan Pas semata-mata tetapi melibatkan keseluruhan orang Melayu untuk bersatu demi kelangsungan Melayu dan Islam.

Pada 10 Julai ini (Rabu depan), ada mesyuarat Jawatankuasa Pemandu, UMNO dan Pas. Saya (Mohamad) akan mengetuai jawatankuasa dari UMNO dan Timbalan Presiden Pas , Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan menerajui jawatankuasa dari Pas untuk mengemas kini dan meneliti draf Piagam Penyatuan Ummah yang telah siap disediakan oleh Jawatankuasa Teknikal kedua-dua parti. Apabila draf ini dipersetujui, maka kedua-dua parti akan memilih tarikh untuk pelancaran. Lokasi majlis sama ada dilakukan di tempat terbuka atau tertutup seperti stadium atau PWTC.

Kerjasama UMNO-Pas ini suatu peristiwa bersejarah yang mana dua parti Melayu terbesar tanah air menandatangani piagam untuk bekerjasama demi penyatuan ummah.

Utusan

Leave a Reply